Umar tersilap, bersedia untuk dibalas

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 43)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

- Advertisement -

AL-AHNAF bin Qais berkata: Kami tiba dalam satu rombongan membawa banyak hasil menuju Saidina Umar.

Umar bertanya: ‘Di mana kamu letak semua itu?’
Aku jawab: ‘Di tempat sekian.’

Dia bangun bersama kami hingga sampai ke tempat gembalaan binatang kami. Umar meninjau dengan matanya. Dia berkata: ‘Kenapa kamu tidak bertaqwa kepada Allah mengenai binatang ini? Tidakkah kamu tahu ia juga ada hak ke atas kamu? Kenapa kamu tidak biarkan, lalu makan sendiri tumbuhan bumi?’

Kami berkata: ‘Wahai Amir al-Mukminin! Kami datang membawa hasil yang banyak. Kami mahu bersegera kepada Amir al-Mukminin dan kepada orang Islam untuk menggembirakan mereka.’

Umar kembali ke rumah. Kami menurutinya di belakang. Tiba-tiba seorang lelaki muncul. Dia berkata: ‘Wahai Amir al-Mukminin! Mari bersamaku. Kembalikan hak ku. Dia menzalimiku.’

Umar mengangkat perisai dan nenghentak kepalanya. Umar berkata: ‘Kamu panggil Umar sedangkan dia ada di depan kamu. Bila dia sibuk uruskan hal kamu, kamu datang kepadanya. Lalu kamu kata: Ambil hakku, ambil hakku.’

Lelaki itu berpaling sambil mengadu kesakitan.

Umar berkata: ‘ Bawa kembali lelaki itu.’

Umar mencampakkan sejenis senjata kepadanya. ‘Pegang! Pukul aku.’

Lelaki itu menjawab: ‘Tidak. Aku tinggalkannya kerana Allah dan kerana kamu.’

Umar berkata: ‘Bukan begitu. Sama ada kamu tinggalkannya kerana Allah dan mahu apa yang ada di sisiNya, atau engkau tinggalkannya keranaku, lalu aku tahu.’

Dia menjawab: ‘Aku tinggalkannya kerana Allah.’

Umar berkata: ‘Pergilah’. Dia berjalan menuju rumahnya. Kami bersamanya. Dia solat 2 rakaat. Dia berdoa sambil duduk:
‘Wahai Ibn al-Khattab! Kamu dahulunya rendah. Allah angkat kamu. Kamu sesat. Allah beri hidayah kepadamu. Kamu hina. Allah muliakan kamu. Kemudian kamu diamanah menjaga orang Islam. Kamu didatangi seorang lelaki yang meminta tolong. Kamu pukul dia. Apa yang kamu nak jawab depan Tuhanmu esok bila kamu di sana?’

Umar mencela dirinya benar-benar. Aku (Al-Ahnaf bin Qais) rasa bahawa dialah orang yang paling baik di bumi.

(Tarikh Umar al-Khattab, Ibn Al-Jauzi ms 133-134)

Pengajaran:
1- Kisah yang agak panjang, banyak iktibar di dalamnya. Setiap orang boleh mengambil sudut yang dilihat dan dinilai.

2 – Umar sangat sensitif, sekalipun terhadap binatang tunggangan dan ternakan. Maka bagaimana dengan manusia?

3 – Tidak salah membawa hasil kemenangan dengan cepat kepada pemerintah dengan tujuan menggembirakannya dan untuk masyarakat.

4 – Jika ada isu, tentulah mengadu kepada pemimpin. Pemimpin pula sepatutnya mendengar dengan baik. Jika dapat bantu, itu yang terbaik. Jika tak dapat, tolak dengan baik dan beri alasan yang munasabah.

5 – Pemimpin yang buat silap, mesti segera betulkan kesilapannya. Jangan tunggu lama. Buang sifat sombong. Akui kesilapan. Biarkan mangsa membalas balik.

6 – Tidak membalas kezaliman adalah sifat terpuji. Ia lebih berpahala jika diniat kerana Allah, bukan kerana manusia.

7 – Umar segera menginsafi diri dan memuhasabah dirinya. Setiap pemimpin wajar menurut sifat terpuji Umar ini agar kepimpinannya membawa manfaat dan berkat untuk yang lain.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu. – HARAKAHDAILY 6/7/2022

- Advertisement -