Ladang Musang King di Gunung Inas diarah henti Julai 2020

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

BALING:
Ladang durian Musang King di Gunung Inas diarah menghentikan operasi sejak Julai 2020 kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, pihaknya juga mengarahkan pengusaha menanam tanaman tutup bumi untuk mengelak hakisan yang boleh membawa risiko kepada penduduk berdekatan.

“Isu ladang Musang King tidak wajar digembar gembur serta dijadikan punca kejadian kepala air di Kampung Iboi, Isnin lalu.

“Operasinya telah diberhentikan pada Julai 2020 melalui keputusan mesyuarat Exco yang diadakan di Pejabat Daerah Baling ketika itu,” kata beliau pada sidang media di Pejabat Daerah Baling, hari ini.

- Advertisement -

Katanya juga Jabatan Perhutanan  mengeluarkan arahan berhenti operasi kepada syarikat terbabit dan tiada aktiviti penanaman lanjut dilakukan selain tanaman tutup bumi juga dilaksanakan.

“Saya kesal dengan tularnya video-video lama di media sosial sedangkan isu itu telah pun diselesaikan. Apakah ada tujuan lain. Saya pun tak faham. Di Malaysia semua perkara nak dipolitikkan,” katanya.

Menurut Sanusi, kali terakhir kelulusan ladang hutan di Gunung Inas pada tahun 2007 dan proses mengeluarkan kayu kayan dari hutan terbabit berlaku antara 2008 hingga 2019.

Manakala durian bukan antara tujuh spesis tanaman yang dibenarkan ditanam di ladang hutan sebaliknya ia menjadi minat syarikat-syarikat terbabit untuk diusahakan.

Kata beliau Jabatan Hutan melalui dasar baharu membenarkan 20 peratus daripada kawasan ladang hutan yang diluluskan ditanam dengan tanaman lain selain yang dibenarkan.

“Contohnya kalau syarikat terbabit mendapat 1,000 hektar untuk tanaman ladang hutan, 200 hektar dibolehkan untuk ditanam dengan pokok lain sama ada rambutan, manggis, pisang ataupun durian,” katanya.

Di Kedah kata beliau  jumlah keluasan yang dibenarkan hanya 15,000 hektar daripada jumlah keluasan keseluruhannya.

Namun katanya  sebaik sahaja Perikatan Nasional (PN) Kedah mengambil alih negeri itu pada 2020, didapati kebenaran tanaman lain diluluskan 22,000 hektar melebihi had yang dibenarkan.

“Ini bermakna Kedah telah meluluskan tanaman lain di ladang hutan melepasi 7,000 hektar yang dibenarkan,” tambah beliau.

Menteri Besar juga berkata, tanaman di ladang hutan lebih memberi fokus kepada Timber Latex Clon (TLC). – HARAKAHDAILY 6/7/2022

- Advertisement -