Isu perbezaan Hari Arafah dan Hari Aidil Adha di Makkah

- Advertisement -

POLEMIK penetapan puasa sunat Arafah sering kali menjadi isu. Antara persoalannya ialah adakah Hari Arafah mengikut perkiraan hari anak bulan di sesebuah negara atau mengikut hari wukuf di Arafah. Ditambah kekeliruan dengan isu larangan berpuasa pada hari raya, kerana bertembung hari Arafah di Malaysia dengan hari raya di Makkah.

Perlu difahami bahawa matla’ negara Malaysia adalah berbeza dengan matla’ Arab Saudi. Kedudukan Arab Saudi yang berada pada kedudukan yang lebih Barat berbanding negara kita menyebabkan peluang untuk anak bulan kelihatan di negara itu adalah lebih tinggi berbanding di negara kita. 

Imam al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah telah menjelaskan perkara ini dengan berkata: “Dan apabila dilihat anak bulan di sesuatu negara, maka hukumnya adalah sama seperti negara yang berhampiran dengannya, sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah kerana kedua-duanya seolah-olah seperti satu negeri, bukannya (hukum yang berbeza) bagi negeri yang jauh seperti Hijaz dan ‘Iraq pada pendapat yang lebih tepat”. [Mughni al-Muhtaj Ila Ma’rifati Alfaz al-Minhaj, 2/144-145].

Jadi, tiada masalah untuk berbeza tarikh mula dan akhir berpuasa. Begitu juga tiada masalah berlakunya perbezaan pada ketetapan hari Arafah dan hari raya Haji selama mana penilaian awal bulan mereka berbeza. Ini kerana penetapan bermulanya bulan itu adalah berdasarkan cerapan anak bulan atau sempurnanya 30 hari, lalu boleh sahaja ketetapan hari Arafah dan hari raya bagi orang di Makkah berbeza dengan hari Arafah dan hari raya bagi orang lain yang berbeza penilaian awal bulannya.

Kesimpulannya, ikutlah hasil cerapan anak bulan di negara kita bagi menentukan masuknya bulan-bulan Islam. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:

- Advertisement -

‎الصوم يوم تصومون، والإفطار يوم تفطرون، والأضحى يوم تضحون.

Puasa itu bermula pada hari kalian bersama-sama berpuasa. Berbuka (Aidilfitri) itu pada hari kalian bersama-sama berbuka. Berkorban (Aidiladha) itu pada hari kalian bersama-sama berkorban.”

[Riwayat al-Tirmizi (697). Hadis Hasan]

Semoga ada manfaatnya.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 4/7/2022

- Advertisement -