Sembelihan: Fi caj RM35, Terengganu ganti balik RM100

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu sentiasa mengambil perhatian terhadap rungutan yang disuarakan oleh para penternak, kata Pengerusi Jawatankuasa  Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim.

Beliau berkata, ini termasuk isu berkaitan kutipan fi prosedur permohonan pindah atau sembelihan luar daripada rumah sembelih yang dikenakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri untuk ternakan bagi tujuan korban atau aqiqah.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu melaksanakan undang-undang serta peraturan termasuk melaksanakan peraturan kutipan fi sebanyak RM35 bagi kebenaran/permit sembelih luar daripada rumah sembelihan yang telah diwarta sejak tahun 2009 di bawah seksyen 82 Akta Binatang 1953 [Akta 647(Penetapan Pusat Veterinar dan Fi Bagi Perkhidmatan Lain)].

- Advertisement -

Jelasnya, peraturan itu bukan hanya untuk negeri Terengganu sahaja tapi untuk seluruh negara.

Tambahnya, ia juga bukan peraturan yang baru diwujudkan kerana ianya telah diwartakan sejak 2009 lagi.

“Cuma dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lepas, kerajaan negeri memberi pertimbangan untuk tidak menguatkuasakannya setelah mengambil kira situasi yang sedang dilalui oleh rakyat,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, prosedur itu ditetapkan dalam usaha memastikan ternakan yang disembelih bebas daripada sebarang penyakit serta menjamin keselamatan daging sembelihan.

Tambahnya, sebagai usaha meringankan beban akibat kenaikan harga makanan ternakan serta keprihatinan terhadap isu kutipan fi kebenaran/permit sembelih luar daripada rumah sembelihan itu, kerajaan negeri bersetuju untuk memberi saguhati dalam bentuk insentif RM100 kepada penternak ruminan tradisional dan berskala kecil sebagai tanda penghargaan serta menyantuni golongan penternak yang terus cekal menternak bagi membekalkan bekalan daging kepada rakyat.

“Bolehlah juga diistilahkan RM100 sebagai duit raya Aidiladha untuk para penternak kita. Fi caj RM35, kerajaan negeri ganti balik RM100,” katanya lagi.

Menurutnya, insentif itu bakal memberi manfaat kepada seramai 1,000 penternak ruminan tradisional dan berskala kecil. – HARAKAHDAILY 28/6/2022

- Advertisement -