Siti Zailah: Saya pun tak tahu sebab apa jadi begini…

BERDAKWAH adalah aktiviti yang dilakukan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, DATUK SITI ZAILAH MOHD YUSOFF sejak di alam persekolahan lagi. Begitupun, sebagai wanita, beliau yang mesra dengan panggilan Kak Lah juga minat membaca, memasak, bertanam dan menjahit. Wartawan Harakah, SAIDAH HAIRAN berkesempatan menemubual beliau, baru-baru ini.

Harakah: Apa kak Lah buat kalau tidak terlibat dengan politik?

SITI ZAILAH: Saya suka berdakwah. Sejak dari sekolah lagi saya suka mendidik orang, suka buat tazkirah. Saya ingat masa Tingkatan Lima, balik cuti sekolah dalam masa sebulan saya buat program sampai ada lima kumpulan usrah. Saya ambik budak-budak kampung, saya buat kuliah di madrasah. Saya bukan ada ilmu, Tingkatan Lima tak ada apa, tapi saya ambil ilmu daripada ustaz yang mengajar saya. Saya buat nota, saya baca nota balik daripada buku yang ustaz ajar.

Advertisement

Muda lagi Kak Lah sudah berdakwah?

Saya suka orang taat kepada perintah Allah. Saya tidak boleh tengok orang buat maksiat, saya takut saya tidak lepas dengan Allah. Saya takut berdosa. Sejak daripada kecil lagi memang minat macam tu, dalam keluarga pun macam tu. Dalam keluarga saya tukang beri peringatan kepada emak, ayah.

Dengan emak saya selalu saya cakap, mek…kita ini Allah suruh begini, begini. Allah bagi semula jadi kepada Kak Lah ni. Saya pun tak tahu sebab apa saya jadi begini.

Hobi Kak Lah di masa lapang?

Saya suka membaca, memasak, bertanam dan menjahit. Pagi tadi sebelum pergi pejabat, saya menjahit dahulu. Saya cakap dengan anak, kalau umi tak ada program hari ini, umi menjahit je.

Sebelum saya menjadi YB, baju anak-anak semua saya jahit sendiri. Jubah, seluar, tudung, skrit saya buat sendiri. Saya anak ramai, saya suka menjahit, sebenarnya. – HARAKAHDAILY 25/6/2022

Temu bual penuh disiarkan dalam akhbar Harakah.