Filem Mat Kilau – Antara tuntutan sejarah dan fiksyen

Aksi pelakon ketika adegan pertarungan dalam filem Mat Kilau
- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE

Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan, satu lagi filem sejarah, tetapi sejauh manakah ketepatan fakta sejarah dalam filem mengenai tokoh penting gerakan penentangan terhadap penjajah Inggeris di Pahang.

Filem yang menelan belanja kira-kira RM8 juta itu menampilkan barisan pelakon hebat, aksi pertarungan mendebarkan dan kostum menarik, hasil kreativiti sutradara, Syamsul Yusof.

- Advertisement -

Mengambil masa hingga 15 tahun untuk menjadi realiti, Mat Kilau bukan filem sejarah pertama dalam industri filem negara. Beberapa penerbit lain yang berani mempelbagaikan genre filem tempatan sebelum ini, menerbitkan filem sejarah seperti Bukit Kepong, Leftenan Adnan, Paloh, 1957: Hati Malaya dan Tanda Putera.

Apa pun, menerbitkan filem ini ternyata usaha berani Studio Kembara Sdn Bhd, sebagai entiti bisnes sudah tentu antara sasarannya adalah soal untung rugi, selain menghasilkan filem berkualiti yang diterima penonton.

Penerbitan filem sejarah adalah suatu cabaran besar kepada penerbit dan sutradara kerana filem berdasarkan peristiwa sebenar bukan mudah dibuat. Perlu ada keseimbangan yang halus antara jalan cerita yang menarik dan ketepatan sejarah.

Terlalu banyak butiran sejarah akan membuatkan penceritaan menderita dan hanya peminat sejarah akan memuji. Lebih parah dan ditakuti penerbit filem ialah tidak untung dan tidak pulang modal. Namun, mengorbankan terlalu banyak fakta sejarah untuk melancarkan penceritaan, tiada siapa pula akan menghormati nilai sejarah dalam filem.

Komen dalam media sosial pula tanpa segan silu akan memainkan kesilapan seperti pemakaian tanda pangkat pada pakaian seragam pegawai.

Mengambil Mat Kilau, pendekar Melayu yang berjuang menentang penjajah British di Pahang, untuk difilemkan bukan calang-calang keputusan kerana watak itu ketika hayatnya sendiri menimbulkan kegemparan apabila memperkenalkan identitinya ketika penghujung usia.

Seperti filem adaptasi sejarah lain, sesetengah aspek dalam Mat Kilau tidak terlepas dipertikaikan seperti watak Wahid lakonan Beto Kusyairy yang menonjol selepas watak utama, Mat Kilau yang dilakonkan Dato’ Adi Putra.

Dalam kalangan wartawan yang menonton tayangan filem perdana, baru-baru ini, kelihatan sependapat bahawa watak Wahid lebih kuat berbanding watak lain seperti Awang lakonan Fattah Amin.

Mungkin kerana adegan isteri Wahid, Rokiah lakonan Zarina Zainuddin yang hanya menunggu masa untuk melahirkan anak sulung mati dibunuh dengan kejam dan penderitaan Wahid melihat dengan matanya sendiri kekejaman itu menguatkan wataknya.

Lebih 200 pelakon tambahan digunakan dalam filem Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan

Satu lagi watak hebat ialah Toga lakonan aktor Indonesia, Yayan Ruhian, yang pernah bertarung dengan Keanu Reeves dalam filem John Wick. Toga amat dominan sebagai watak hitam, malah penghujung ceritanya ialah pertarungan dengan Mat Kilau.

Namun sehebat mana pun Wahid dan Toga, mereka adalah watak fiksyen dan bukan berdasarkan fakta sejarah.

Pengarah Urusan Studio Kembara yang juga penerbit filem Mat Kilau, Abdul Rahman Dali, mengakui bahawa hanya antara 60 hingga 70 peratus filem mengikut fakta sejarah, tetapi perjalanan cerita filem itu adalah betul dan bakinya adalah hasil karya seperti adegan ketika bersilat.

Abdul Rahman juga berkata tidak semua aspek kehidupan Mat Kilau dapat dipaparkan kerana filem berdurasi 1 jam 57 minit itu hanya menggambarkan tempoh dua minggu perjuangannya menentang British. 

Inilah cabaran filem sejarah dengan fakta perlu setepat yang boleh tanpa menjejaskan cerita. Namun filem sejarah bukan dokumentari. Bagi penonton, ketidaktepatan fakta dimaafkan jika dibuat dengan baik dan dengan niat yang baik. Akhirnya nanti, tiada siapa menjangkakan tahap ketepatan sejarah melebihi apa yang diperlukan oleh cerita.

Filem tidak selalu memerlukan perhatian terhadap perincian demikian, cuma penerbit dan sutradara perlu menghargai sejarah.

Paling penting ialah usaha Studio Kembara mengangkat Mat Kilau ke layar perak, kisah benar pendekar yang mempertahankan maruah bangsa Melayu di bumi Pahang, watak yang hampir menyebabkan British mahu berundur dari Pahang.

Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan, bakal menemui penonton bermula 23 Jun ini. Selamat menonton! – HARAKAHDAILY 21/6/22

- Advertisement -