Seruan bersatu padu bukan ikut musim: Tahniah MB Johor

- Advertisement -

SEJAK beberapa hari lalu, tersebar sedutan video rakaman ucapan Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi menyebut mengenai ayat yang sering disebut oleh Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkaitan dengan surah Ali ‘Imran ayat 103 berkaitan dengan perpaduan. 

Dikatakan bahawa ucapan Menteri Besar Johor ini dibuat semasa majlis Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Quran Kebangsaan yang diadakan Pusat Islam Iskandar Johor baru-baru ini.

Seruan untuk penyatuan ummah bukanlah satu seruan berkala atau atas sebab-sebab tertentu sahaja tetapi ianya adalah seruan berterusan sehingga ke akhir zaman.

Ia adalah seruan perpaduan yang seiring dengan perjuangan PAS sejak sekian lama yang mahukan penyatuan ummah melangkaui fahaman politik.

Dalam Ucapan Dasar Presiden PAS ketika Muktamar Tahunan PAS ke 67 tahun lalu, Tuan Guru Presiden telah menggariskan tiga prinsip penyatuan ummah dalam usaha mewujudkan sebuah pemerintahan yang aman dan sejahtera di Malaysia.

Pertamanya adalah keadilan kepada seluruh manusia termasuk terhadap musuh, keduanya perpaduan ummah sebagai satu keluarga besar walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama manakala ketiganya Prinsip ketiga pula ialah Islam memimpin.

Prinsip inilah yang ingin diterapkan di dalam masyarakat dan sudah tentulah apabila Menteri Besar Johor membacakan ayat 103 dari surah Ali Imran ini membayangkan satu usaha perpaduan dan penyatuan ummah yang seiring dengan perjuangan PAS.

Syabas Dato’ Onn Hafiz, semoga di bawah kepimpinan YAB akan menyatupadukan rakyat Johor tanpa mengira kaum dan agama.

Sekian.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Yang Dipertua PAS kawasan Kluang
2 Zulkaedah 1443 / 2 Jun 2022 – HARAKAHDAILY 2/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -