Oleh ZULHAIDI MANSOR
KUALA LUMPUR: Beban kenaikan harga makanan yang kian melambung tinggi sejak akhir-akhir ini menyebabkan rakyat mengeluh kerana semakin tersepit, ditambah dengan pelbagai masalah yang membelenggu mereka.
Hasil tinjauan HarakahDaily mendapati, rata-rata orang ramai yang ditemui telah menyuarakan masalah dihadapi mereka dan menyeru kerajaan mengambil langkah proaktif bagi menangani isu kenaikan harga makanan ketika ini.
Seorang pekerja swasta, Ahmad Rizal Ibrahim, 49, berkata, saban hari dia terbeban dengan harga makanan yang makin tinggi, sehinggakan kadang-kadang dia terpaksa membawa bekal sendiri ke pejabat bagi menjimatkan kos perbelanjaan harian.
Menurutnya, pendapatan dirinya tidak banyak dan terpaksa berjimat disebabkan kos sara hidup yang meningkat.

“Sebelum ini, saya membeli makanan tengah hari seperti nasi ayam pada harga serendah RM5 sahaja, namun kini disebabkan kos bahan mentah yang makin mahal, harga nasi ayam tersebut naik menjadi RM8.
“Ia membuatkan hidup saya semakin terhimpit ditambah dengan kos pengangkutan ke tempat kerja dan perbelanjaan harian yang lain,” ujarnya kepada HarakahDaily ketika ditemui di sini hari ini.
Rentetan itu katanya, dia menyarankan agar kerajaan melakukan tindakan segera bagi mengawal harga makanan membuat strategi yang terbaik bagi menangani isu ini.
Sementara itu, chef, Fadhlul Hadi, 35, berkata, isu yang seringkali dihadapinya sebagai pekerja dalam industri makanan adalah disebabkan masalah kekurangan bahan mentah.
Tambah Hadi, berkemungkinan pembekal menyorok bahan-bahan bekalan dan menaikkan harga barangan tersebut.

Justeru katanya, dia ingin menyarankan agar kerajaan memperbanyakkan pasar tani dan kedai 1Malaysia supaya pembelian barang-barang keperluan harian dapat dibuat secara terus tanpa melalui orang tengah bagi mengurangkan manipulasi dalam pasaran.
“Setakat ini, harga makanan di tempat saya masih lagi sama cuma saya agak terkejut melihat harga makanan di luar contohnya ada peniaga yang menaikkan harga ayam sehingga RM0.50 sen,” ujarnya.
Dalam pada itu, Intan Dayana, 32, yang bekerja sendiri pula menyuarakan pendapatnya yang menaruh simpati terhadap golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan memiliki ahli keluarga yang ramai.
Menurutnya, walaupun paras gaji minimum RM1,500, namun harga barangan keperluan harian terutama makanan turut sama naik.
“Maka, perkara ini agak membebankan. Namun demi kelangsungan hidup, mahu tidak mahu tetap perlu diteruskan juga,” ujarnya yang turut menanam sendiri pelbagai jenis sayur-sayuran seperti serai, kangkung, keladi, sawi, bendi, terung,dan cili sebagai sumber makanan hariannya bersama keluarga.

Intan juga mengakui bahawa kenaikan harga ayam kini turut membebankan rakyat marhain yang kian berasa tersepit.
“Pada awal April, harga ayam segar telah meningkat sebanyak RM1.60 sekilogram sekali gus melebihi harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM8.90 sekilogram, namun kini ia dijual pada harga RM10.50 sekilogram,” ujarnya.
Terdahulu, inflasi makanan Malaysia dijangka kekal dalam aliran meningkat pada bulan-bulan akan datang berikutan kenaikan harga komoditi global, gangguan rantaian bekalan domestik serta penyusutan ringgit.
MIDF Amanah Investment Bank Bhd menerusi cabang penyelidikannya, MIDF Research berkata, sebagai negara pengimport bersih makanan, Malaysia amat terdedah kepada sebarang kejutan global yang berkaitan dengan rantaian bekalan.
“Inflasi makanan global kekal tinggi terutama harga jagung, bijirin dan sayur-sayuran. Namun, kami berpendapat bahawa tekanan inflasi secara keseluruhannya akan kekal stabil berikutan inflasi bahan api yang berada dalam aliran penurunan,” ujar kenyataan berkenaan dalam satu nota ekonomi. – HARAKAHDAILY 30/5/2022