SEBELUM ini bila saya tulis mengenai kehipokritan pemimpin DAP dalam isu perjuangan negara sekular mereka, saya dibuat laporan polis dan disaman walaupun apa yang saya sebut adalah satu fakta.
Kini dalam isu pemartabatan Bahasa Melayu dalam pelbagai bidang yang diperjuangkan oleh Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 22-24 Mei pun sama halnya.
Dalam simposium tersebut, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah, telah menegaskan komitmen kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam.
Malangnya, walaupun sebahagian besar rakyat Malaysia memuji dan menyokong langkah ini, wujud pula suara-suara pinggiran yang cuba mempersoalkannya.
Antara mereka ialah mantan Menteri dan mantan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, yang menyifatkan langkah menguatkuasakan Bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam ini sebagai satu langkah ‘gila’ (crazy).
Dua pemimpin yang cepat-cepat menyetujui dan menyokong kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz ini ialah dua Ahli Parlimen dari DAP, iaitu Nga Kor Ming dan Teresa Kok.
Tidakkah Nga Kor Ming dan Teresa Kok sedar bahawa tindakan ini bercanggah dengan salah satu matlamat penubuhan DAP, iaitu “mempertahankan dan menjunjung kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan”?
Sedar atau tidak sedar sekalipun, tidakkah tindakan Nga Kor Ming dan Teresa Kok ini menyerlahkan satu lagi kehipokritan pemimpin DAP dalam perjuangan mereka?
DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF
Pengarah Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu
29 Mei 2022 – HARAKAHDAILY 29/5/2022