Fitnah lama PAS terima duit Umno RM90 juta dikitar semula

- Advertisement -

TERSEBAR semula fitnah empat tahun lepas yang PAS menerima duit Umno, kemudian bermewah-mewah berbelanja. Cuma yang pelik, mereka tidak sebutpun apa Presiden PAS dapat. Sepatutnya Presidenlah yang paling banyak dapat, kan? Tetapi mereka tahu, nanti tiada orang akan percaya. Paling ‘best‘, sebab mahu menyedapkan cerita, mereka tulis ‘beberapa orang Ahli Parlimen PAS’. Sama macam jual ubat kampung, menyembuhkan ‘segala penyakit’. Penyakit apa, tak tahu, semua dia ‘claim‘.

- Advertisement -

Antara fitnah itu ialah Mursyidul Am membeli Porsche, sedangkan ia dibeli oleh anaknya. Anak Presiden PAS ada motor berkuasa tinggi, padahal ia milik rakannya. Dato’ Nik Amar dijaja pakai Range Rover, tetapi sebenarnya yang ‘2nd hand’. Nik Zawawi pakai kereta mahal, walhal beliau seorang saudagar emas. Semua program PAS didakwa dibiayai Umno, sedangkan semua tahu PAS tidak pernah kering tabung ‘Milo’nya didermakan ahli bagi menjayakan program-program itu. Sampai RM10 juta mereka fitnah PAS belanja buat program Ijtimak Ulamak Antarabangsa di Rusila. Gila apa?

Cerita ini, kita sudah dapat agak daripada siapa. Sekadar mahu memberitahu kepada anak muda berusia 18 tahun yang bakal mengundi kali pertama nanti, bahawa fitnah begini adalah makanan bagi segolongan manusia gilakan kuasa. Betapa mereka amat rakus dalam memfitnah sesiapa sahaja yang menjadi musuhnya.

Kes ini sengaja dibawa oleh Sarawak Report (SR) keluar Malaysia kerana tahu kos guaman yang amat tinggi. PAS terpaksa melawan fitnah ini kerana ia hampir dengan PRU. Atas alasan nama baik PAS akan tercemar pada PRU14 kerana persepsi ini, PAS lawan juga kes ini di London. Kos yang amat tinggi terpaksa dibayar pada pusingan awal lagi. Jadi fikirkanlah jika berlarutan. Alhamdulillah, PRU14, PAS menang di Kelantan dan Terengganu serta menambah kerusi Parlimen.

Maka, isu berkenaan nama baik PAS yang mungkin tercemar dalam PRU kerana fitnah ini, tidak lagi timbul. PAS memutuskan menarik kes itu walaupun difitnah, kerana PRU telah selesai dan kos guaman akan meningkat menggila jika kes diteruskan. Sedangkan PAS telah menang di Kelantan dan Terengganu. Jadi tiada gunanya menghabiskan wang. Tetapi PAS terpaksa membayar kos kerana menarik kes. Dan bayaran ini pula diguna sebagai fitnah lawan mengatakan kalau tidak kalah, kenapa bayar kepada SR?

Semua fitnah PAS terima duit itu boleh dijawab secara mudahnya begini. Jika Najib dan Zahid yang paling berkuasa dalam Umno dan kerajaanpun dihadapkan ke mahkamah selepas hilang kuasa kerana 1MDB, maka apa sangat PAS? Takkan PAS lebih berkuasa dari Umno? PAS dituduh bersengkongkol dengan Umno, makan duit Umno, tetapi Umno yang kena naik turun mahkamah. Logik ke?

Lagi jawapan fitnah ini ialah, sebelum dan setelah berkuasa selama 22 bulan, Pakatan Harapan (PH) itulah yang paling kuat menyokong SR berkenaan fitnah ini. Jadi, sebagai kerajaan yang berkuasa, kenapa PH tidak hadapkan PAS ke mahkamah atas alasan rasuah yang mereka dakwa ada bukti kukuh itu? Malah, Anwar sendiri dalam kempen PRK beliau, tidak berani mengedarkan kertas hitam yang dicetak terlebih karbon yang beliau baca dalam pidatonya itu sebagai bukti. Masih nak percaya?

Sebelum Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (KP SPRM), Tan Sri Azam Baki ini, sudah berapa KP SPRM yang telah bertukar ganti semenjak kes fitnah ini dijaja? Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Dato’ Seri Shukri Abdull dan Latheefa Koya. Jadi kenapa mereka fitnah kata yang PAS sokong TS Azam sahaja? Sewaktu Latheefa Koya dari PH menjadi KP SPRM, apa dia buat dengan ‘bukti’ ini? Bahkan Latheefa Koya sendiri menafikan fitnah kepada PAS ini. Latheefa ada main dengan PAS juga ke? Untuk menambah perisa lagi, konon kata mereka lagi, PAS setuju fitnah ini disiarkan. Siapa agaknya akan setuju kesalahan mereka disebarkan? Apa lagi yang fitnah.

Jadi adik-adik, kena ingat. Jika dalam PRU nanti gabungan yang mempunyai DAP, PKR dan PAN, maka berhati-hatilah dengan janji dan cerita mereka. Mereka bukan kira fitnah atau tidak, asal dapat kuasa. Kemudian adik-adiklah yang merana sebab janji-janji mereka itu, samalah macam fitnah-fitnah mereka, tak boleh dipercayai. Larilah dari mereka sejauhnya, bagai kamu terserempak hantu. Umnopun sekarang, ada segelintir nak ikut perangai PH.

Tengok PAS, lebih 30 tahun di Kelantan, tiada rasuah. Terengganu dan Kedah, dua kali perintah dan dahulu pernah sekali di Perakpun sama rekod. Takkanlah selama 30 tahun SPRM sanggup tidak dakwa PAS yang dulunya musuh yang amat-amat mahu dijatuhkan integriti dan maruahnya kerana benci kepada Lebai? Tetapi di Pulau Pinang, sudah masuk mahkamah kes rasuah PH. Ada baca tak?

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 21/5/2022

- Advertisement -