Keindahan pantun mewarnai sidang Dewan Negara

Dewan Negara.
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Sepanjang dua minggu Dewan Negara bersidang, suatu perkara yang menarik diperhatikan ialah penggunaan pantun di kalangan Ahli Dewan Negara.

Tidak dapat dinafikan bahawa Ahli Dewan Rakyat juga tidak kurang yang berpantun, tetapi penggunaan pantun yang kaya dengan bahasa kiasan bernilai tinggi, lebih kerap digunakan oleh Senator.

- Advertisement -

Mungkin antara faktor penggalak kerana Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, bukan saja handal berpantun, malah sering menggunakan dalam ucapan mendorong Senator mempamerkan bakat terpendam, selain berbahas dan berbincang isu negara dan rakyat yang serius.

Uniknya pantun ialah pelbagai aspek berkaitan nilai dan norma hidup dapat disampaikan sebagai wadah dalam bentuk nasihat, sindiran, gurauan dan medan meluahkan perasaan.

Pemilihan perkataan yang digunakan disusun dengan teliti dan dapat menyelami nilai pemikiran yang kritis. Keindahan pantun peribahasa daripada irama yang indah, ketekalan minda dan sebagai alat komunikasi yang berkesan untuk menyampaikan maksud yang tersurat dan tersirat.

Menariknya, pantun di Dewan Negara digunakan dalam pelbagai cara seperti pantun dua kerat Senator Noraini Idris untuk bertanyakan soalan:

Pat-pat siku lipat;
Soalan saya nombor empat.

Senator Fadhlina Dato’ Sidek pula memuji personaliti Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, yang akan menjawab soalannya:

Datuk Halimah orangnya geliga;
Soalan saya nombor tiga.

Pantun jelas merentasi sempadan kaum. Senator Dato’ R Nelson, menaik taraf pantunnya kepada empat kerat:

Pohon mangga buahnya lebat;
Secangkir kopi diminum hangat.
Selamat pagi para sahabat;
Sambut ceria dengan semangat.

Pantun ini menyebabkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, yang tidak membalas pantun itu memujinya dengan berkata: “Yang di-Pertua. Sedap pantunnya.”

Bagi Menteri atau Timbalan Menteri yang menjawab soalan lisan, pantun juga digunakan sebagai mukadimah jawapan mereka.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin, mengakui tidak begitu pandai berpantun mencuba dengan berkata:

Minum kopi tidak bergula;
Duduk memikir soalan YB Fadhlina.
Kerajaan mengambil tindakan dan inisiatif berguna;
Kerana sayang akan rakyat Keluarga Malaysia.

Selain sebelum mengemukakan dan menjawab soalan lisan, pantun digunakan sebelum berbahas seperti yang dituturkan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Haji Khairil Nizam Khirudin:

Kalau hendak membeli cermin;
Belilah cermin tembus cahaya.
Kalau mahu menjadi pemimpin;
Jadilah pemimpin lurus bicara.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff, pula berpantun sebelum membuat penggulungan Titah Diraja, iaitu:

Daun selasih di atas para;
Buat hidangan si anak teruna.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua yang bijaksana;
Giliran kementerian saya menggulung Titah Diraja.

Dr Rais sempat menjawab:

Mari kita pancing ikan;
Sila berucap teruskan.

Begitu juga dengan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad yang membuat penggulungan bagi kementeriannya, tetapi dengan memuji Dr Rais.

Mekar angsana pandang tak lesu;
Bunganya luruh ke dalam raga.
Pandang Tuan Yang di-Pertua sungguh tak jemu;
Lebih semangat rasa di dada.

Pantunnya yang disambut dengan tepukan meja Senator lain menyebabkan Dr Rais ketawa lalu membalas:

Legun-legun sudah pun di antara;
Letaknya ia di atas ladang.
Perkataan itu sudah didengar oleh saya;
Sila teruskan dengan urusan.

Bagaimanapun sesuai dengan sifat pantun yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, Yang di-Pertua Dewan Negara juga menggunakan dengan kiasan yang tajam sebelum membenarkan seorang Senator mengemukakan soalan tambahan dengan berpantun:

Batu karang di Teluk Jelatang;
Nampak dari Gunung Tahan.
Sebab Yang Berhormat Menteri jarang-jarang datang;
Bolehlah menjawab satu lagi soalan.

Walaupun tidak semua pantun yang digunakan menepati ciri pantun seperti pantun empat kerat perlu mempunyai rima akhir berbentuk ‘a,b,a,b’. Namun kekurangan ini boleh diabaikan kerana lebih penting ialah memperluaskan penggunaan pantun di Dewan Negara.

Hakikatnya, pantun sebagai warisan tradisi Melayu bukan hanya digunakan di majlis-majlis biasa, malah digunakan di kalangan pemimpin yang menentukan hala tuju negara.

Sementara itu, dua hari terakhir sidang Dewan Negara menyaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menerangkan tiga perkara utama mengistilahkan seseorang Ahli Parlimen melompat parti.

Beliau menerangkan draf pentadbiran Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) berhubung antilompat parti ketika menjawab soalan lisan Senator Datuk John Ambrose, yang ingin tahu sejauh mana tindakan serta perancangan dirangka dalam melaksanakan RUU Anti Lompat Parti

Jawapannya mengenai istilah atau keadaan Ahli Parlimen lompat parti, sekali gus memberi bayangan mengenai RUU Anti Lompat Parti yang bakal dibentangkan di Parlimen pada 11 April ini.

Petang semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, memberi penjelasan terperinci berhubung pelbagai isu berkaitan aplikasi MySejahtera di Dewan Negara berikutan sidang Dewan Rakyat, ditangguhkan seminggu lebih awal.

Ini berikutan desakan pelbagai pihak, bukan sahaja di kalangan pemimpin pembangkang, malah pemimpin parti kerajaan dan rakyat secara keseluruhan juga ingin tahu. – HARAKAHDAILY 1/4/22

- Advertisement -