Aplikasi MySejahtera dipindahkan antara MKN dan KKM

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Tidak timbul isu penjualan aplikasi MySejahtera kepada pihak swasta dan sebaliknya Jemaah Menteri pada November lalu, memutuskan pemilikan MySejahtera dipindahkan sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pemindahan itu bukan daripada syarikat swasta kepada KKM, tetapi daripada agensi kerajaan, iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada KKM.

- Advertisement -

Ketika MySejahtera dibangunkan, katanya hak milik aplikasi itu diberikan kepada MKN, manakala syarikat berpangkalan di Singapura, KPISOFT (M) Sdn Bhd, bertanggungjawab menguruskan aplikasi berkenaan.

“Bagaimanapun ketika dilantik sebagai Menteri Kesihatan pada 30 Ogos tahun lalu, saya berpandangan KKM wajar mengambil alih sepenuhnya pengendalian dan operasi MySejahtera memandangkan fungsi utama serta data yang diperolehi menerusi aplikasi itu adalah berkaitan kesihatan.

“Berikutan itu, Jemaah Menteri pada 26 November tahun lalu, bersetuju agar pemilikan aplikasi MySejahtera dipindahkan daripada MKN kepada KKM. Ini bagi memudahkan pengoperasian sistem, pemantauan dan pengesanan kontak serta memperkasa hebahan mengenai kesihatan awam,” katanya ketika menggulung perbahasan mengenai MySejahtera di Dewan Negara, hari ini.

Khairy berkata, ini diikuti dengan penubuhan Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikannya sendiri dan dianggotai pelbagai agensi berkepentingan.

Menurutnya, ini termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Agensi Keselamatan Siber Nasional (NACSA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang bertujuan mengadakan rundingan bersama syarikat pengendali MySejahtera.

Mengulas mengenai isu rundingan bagi kos lesen aplikasi MySejahtera, beliau memaklumkan proses rundingan kini di peringkat akhir dan semakin hampir ke fasa menandatangani perjanjian.

Namun, katanya kos berkenaan belum dapat didedahkan dan memberi jaminan jauh lebih rendah berbanding RM338.6 juta yang didakwa sesetengah pihak.

“Harga yang saya dengar di pasaran RM300 juta lebih, tapi saya boleh nyatakan di sini bahawa harga yang kita runding ini jauh lebih rendah daripada jumlah itu. Saya faham semua ingin tahu berapa kosnya, tapi kita masih dalam rundingan dengan Perbendaharaan.

“Apabila ia dimuktamadkan, kerajaan akan umum secara telus kepada semua. Itu komitmen saya,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/22

- Advertisement -