Pangkalan data MySejahtera di KL, bukan Singapura

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Pangkalan data yang menyimpan maklumat daripada penggunaan aplikasi MySejahtera berada di ibu negara dan bukan di Singapura.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata transaksi data dari MySejahtera dimuat naik ke jaringan pelayan awan setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaan MySejahtera serta aplikasi sokongan berkaitan pandemik Covid-19 seperti modul vaksinasi.

- Advertisement -

“Pangkalan data yang menyimpan maklumat ini berada di AIMS Data Centre, Kuala Lumpur, iaitu dalam negara dan bukan di luar negara seperti dakwaan sesetengah pihak,” katanya ketika menggulung sesi perbahasan berhubung isu MySejahtera di Dewan Negara, hari ini.

Sementara itu, katanya data daftar masuk pengguna di pelbagai lokasi yang direkodkan melalui aplikasi MySejahtera akan dilupuskan selepas 90 hari daripada tarikh daftar masuk berkenaan dan data berkenaan tidak boleh dicari semula.

“Data daftar masuk melalui imbasan kod QR akan dilupuskan selepas 90 hari. Kita tak nak simpan pun data ke mana rakyat pergi. Mereka yang ingin padam rekod MySejahtera juga boleh mohon untuk berbuat demikian dan akan dilupuskan secara kekal.

“Proses ini juga dipantau oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Khairy turut menjawab isu pemilihan syarikat Singapura untuk menguruskan MySejahtera dengan memberitahu bahawa rakyat Malaysia adalah pemegang saham terbesar syarikat Entomo Pte Ltd yang memiliki Entomo Malaysia Sdn Bhd (sebelum ini KPISOFT (M) Sdn Bhd).

Menurutnya, rakyat Malaysia berkenaan memilih untuk menjalankan operasi di Singapura kerana lebih mudah mendapatkan pelaburan bagi syarikat teknologi berbanding di Malaysia.

“Sebab itu antara lain MySJ Sdn Bhd (MySJ) ditubuhkan dan diperbadankan pada 23 September tahun lalu sebagai sebuah syarikat Malaysia, selain untuk mencari pembiayaan kewangan di Malaysia dan bukan lagi Singapura.

“Syarikat ini ada perjanjian dengan Entomo dan MySJ yang akan bertanggungjawab untuk urusan MySejahtera dengan kerajaan Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/22

- Advertisement -