Himpunan 100K Bela Palestin capai sasaran

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, Himpunan 100K Bela Palestin yang dilaksanakan semalam telah mencapai sasaran dan matlamat himpunan iaitu bersolidariti dan menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin yang saban hari terus ditekan dan dizalimi oleh rejim Zionis.

Himpunan ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran dua tokoh negara yang disegani iaitu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang selama ini cukup lantang membawa suara Malaysia mengutuk kekejaman Israel di persada dunia.

- Advertisement -

PAS mengucapkan jutaan terima kasih kepada pimpinan parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh individu (NGI), serta seluruh rakyat Malaysia yang turun menyertai perarakan Himpunan 100K Bela Palestin yang telah diadakan di ibu kota pada hari ini. Tidak dilupakan juga ucapan penghargaan kepada rakan-rakan media nasional dan antarabangsa seperti Al-Jazeera, serta rakan-rakan media daripada platform media maya yang membuat liputan meluas bagi menyampaikan suara ketegasan rakyat Malaysia ke seantero dunia.

Selain itu, PAS juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan perarakan dan himpunan ini.

PAS mengharapkan kesatuan hati ini terus diteguhkan sehingga menjadi kegerunan kepada pihak musuh yang rakus memamah jasad insan-insan yang tidak berdosa di bumi Palestin.

Ini bukanlah himpunan yang terakhir dan solidariti kita tidak akan terhenti di sini. Sokongan berterusan akan terus dimanifestasikan dalam segala bentuk tindakan, termasuklah siri-siri himpunan mega selepas ini sehinggalah kemenangan mutlak berpihak kepada kebenaran.
Birruh, Biddam Nafdika Ya Aqsa.

YB Dr Muhammad Khalil b Abdul Hadi
Pengerusi
Lajnah Antarabangsa PAS PUSAT
5 Mei 2024 | 26 Syawal 1445H – HARAKAHDAILY 5/5/2024

- Advertisement -