KUALA LUMPUR: PAS menyeru kepada semua ahli politik, cendekiawan, mufti, pendakwah, badan bukan kerajaan (NGO) serta seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk bersatu dan senada dalam isu keselamatan aqidah anak-anak Loh Siew Hong.
Ketua Penerangannya, Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyerahkan tiga kanak-kanak itu kepada ibu kandungannya hanyalah melibatkan isu penjagaan dan tidak menyentuh isu agama apatah lagi memerintahkan atau membenarkan anak-anak tersebut untuk meninggalkan agama Islam.
Menurutnya, keislaman mereka adalah atas dasar kefahaman, kesedaran dan kerelaan mereka sebagai manusia yang merdeka hasil daripada pengajian serta pendidikan Islam yang mereka lalui.
“Justeru, PAS pada hari ini ingin memberikan amaran tegas bahawa jangan ada mana-mana pihak yang ingin atau berhasrat menukar agama anak-anak ini,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan, umat Islam di negara ini akan bersatu demi keselamatan aqidah mereka. – HARAKAHDAILY 29/3/2022