Kenali fitnah agar tidak jatuh ke dalamnya

- Advertisement -

TEMERLOH: Ahli PAS sebagai sebuah gerakan Islam perlu memahami mengenai keburukan, kejahatan dan kemungkaran agar tidak terjebak atau terperangkap mahupun terjerumus ke lembah kemurkaan Allah itu.

- Advertisement -

Malah, ahli PAS juga perlu mewaspadai kekeliruan zaman yang ditempuhi agar tidak tersalah mengikuti sebarang dakwaan ‘kebenaran’ tetapi hakikatnya bukan dari syariat Islam dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Kerana golongan yang menyeru manusia kepada pintu neraka dan menyesatkan dari pintu syurga mempunyai 1,001 madah berhelah, demikian peringat Setiausaha Ulamak PAS Negeri Pahang, Ustaz Khaidir Khusnin.

Beliau mengupas Hadis Huzaifah Ibn Yaman dari Sahih Bukhari kitab Fitnah bab Akhir Zaman Jika Tiada Jamaah semasa Ijtimak Tarbawi PAS Kawasan Temerloh di Dewan Darul Amin, Sungai Gau, di sini Khamis lalu.

Sehubungan itu serunya, ahli PAS mestilah memiliki Mulazamah yakni komitmen tinggi dengan jamaah umat Islam dan kepimpinannya serta jangan sekali-kali membebaskan diri dari kumpulan umat Islam.

“Apatah lagi menyertai firqah-firqah yang menentang Islam. Kena istiqamah dengan perjuangan Islam dan tegak di atas paksi kebenaran. Meskipun semua pihak menolak kebenaran dan kita tetap di atas akidah perjuangan Islam meskipun terpaksa mengorbankan nyawa kerananya.

“Istiqamah dengan maksud proaktif dalam menggerakkan amal Islami. Bukan sekadar duduk lama dalam jamaah, tetapi menjadi golongan qaa’idun (duduk), malas dan enggan melaksanakan tanggungjawab amal Islami.

“Memberi intima’ (penglibatan) yang betul kepada jamaah. Iaitu intima’ berteraskan akidah. Bukan intima’ yang didorong oleh kepentingan tertentu, taasub individu dan kecenderungan yang rapuh,” ujarnya.

Selain itu katanya, mesti meyakini bahawa jamaah yang didukung adalah jamaah pilihan yang terbaik berasaskan kriteria sebuah gerakan Islam di mana antaranya ialah jamaah memperjuangkan syumuliah Islam.

Namun dalam masa sama nasihatnya, jangan pula mengkafirkan orang Islam yang bukan dari kalangan jamaah sendiri, sebagaimana juga tidak menafikan kebaikan dari jamaah Islam yang lain.

Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Temerloh, Ustaz Azmirudin Ismail berkata, program secara bersemuka julung kali diadakan sejak terkandas penganjurannya oleh pandemik COVID-19 itu akan digiatkan lagi selepas ini.

Menurut beliau, dengan sambutan menggalakkan daripada ahli-ahli PAS Temerloh itu, pihak beliau bersama Dewan Ulamak akan dilangsungkan lebih kerap sepanjang bulan Ramadan nanti. – HARAKAHDAILY 27/3/2022

- Advertisement -