Batalkan tayangan drama ‘Perempuan Itu’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyuarakan bantahan terhadap drama ‘Perempuan Itu’ yang dianggap mencemar tatasusila masyarakat Timur serta masyarakat Islam.

Pengerusi Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi DMPM, Kartini Ahmad berkata, beliau terkejut tatkala membuka Twitter kerana yang sedang trending ialah teaser untuk sebuah drama Melayu itu yang bakal ditayangkan di sebuah stesen televisyen ternama negara.

Menurutnya, teaser tersebut telah dimuat naik di instagram milik pelakon utama drama tersebut yang memaparkan adegan berunsur lucah.

- Advertisement -

Namun begitu, ujarnya ia telah dipadam setelah mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk netizen, ahli agama, aktivis NGO dan masyarakat umum.

Ini, ujar beliau sekali gus membuktikan bahawa rakyat Malaysia beragama Islam masih sensitif terhadap isu yang menyentuh agama dan bersedia untuk menegur sebarang tingkah laku yang salah dari sudut agama.

“Kami ingin menyuarakan bantahan terhadap drama ini, yang dianggap mencemar tatasusila masyarakat timur serta masyarakat Islam.

“Cukup-cukuplah dengan drama ‘Suamiku Lelaki Pendosa/ yang turut memaparkan adegan kontroversi dan masih terus ditayangkan,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menggesa supaya stesen televisyen yang berkenaan supaya berfikir semasak-masaknya tayangan drama itu lebih-lebih lagi ketika ini, umat Islam sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi bulan Ramadan.

Katanya lagi, di peringkat Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi dan badan wanita Islam membuka pintu seluas-luasnya kepada penerbit drama tersebut dan para karyawan seni yang lain untuk duduk semeja dan berbincang berkenaan sebarang produk yang akan dihasilkan untuk tatapan umum, supaya ia mengambil kira landas-landas syariat Islam mahupun masyarakat timur di negara ini.

“Kami juga menyeru supaya pihak yang berkenaan dapat mengambil tindakan tegas untuk memastikan kewajaran drama ini menjadi hidangan kepada majoriti masyarakat Malaysia yang beragama Islam termasuk kanak-kanak yang masih tidak tahu apa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/3/2022

- Advertisement -