Kesedaran pengundi baharu tunai tanggungjawab rendah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengakui kesedaran untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam kalangan pemilih baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini masih rendah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Wira Mas Ermieyati Samsudin, berkata biarpun pendaftaran secara automatik dilaksanakan, namun mereka dianggap kurang minat untuk keluar mengundi.

- Advertisement -

Katanya, dalam kalangan mereka seperti tidak ada usaha untuk keluar mengundi biarpun nama pemilih sudah didaftarkan secara automatik.

“Bagaimanapun, setakat ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum lagi mengeluarkan kajian berkaitan faktor jumlah pengundi tidak ramai pada PRN Johor baru-baru ini,” katanya menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PKR-Ledang) di Dewan Rakyat, hari ini.

PRN Johor menyaksikan jumlah peratusan keluar mengundi paling rendah, iaitu 54.92 peratus berbanding PRN Melaka, Sarawak dan Sabah.

Syed Ibrahim sebelum itu membangkitkan ketidakseriusan kerajaan untuk memastikan lebih ramai keluar mengundi pada PRN Johor, Sabtu lalu.

Menurutnya, kira-kira 200,000 pengundi berdaftar rakyat Johor yang bekerja di Singapura tidak dapat dapat menunaikan tanggungjawab mereka kerana tidak berdaftar sebagai pengundi pos.

Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan Dr Wan Nik Wan Yussof, baru-baru ini mendedahkan 200,000 rakyat Johor yang bekerja di Singapura tidak dapat mengundi memandangkan pintu sempadan negara belum dibuka.

Menjawab isu ini, Mas Ermieyati berkata, kesedaran untuk mendaftar sebagai pengundi pos masih rendah dalam kalangan rakyat di negara ini, sedangkan untuk mendaftar sebagai pengundi pos begitu mudah yang boleh dilakukan melalui laman web SPR.

“SPR memberi peluang selama sembilan hari kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk mendaftar sebagai pengundi pada PRN Johor,” ujarnya.

Malah, katanya SPR melalui Akademi SPR sentiasa berusaha memberi pendedahan kepada pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka. – HARAKAHDAILY 16/3/2022

- Advertisement -