Projek MRT3 ditender tahun ini, siap seawal Disember 2028

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Projek MRT3, iaitu laluan lingkaran yang meliputi perimeter luar Kuala Lumpur dan sebahagian kawasan berpenduduk padat di kawasan Ampang Jaya, Selangor, dirancang untuk dimulakan tender pada tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata projek itu akan dilaksanakan melalui lima pakej utama dalam tempoh antara enam hingga lapan tahun dengan fasa pertama akan dibuka seawal Disember 2028 tertakluk kepada proses pengambilan tanah.

- Advertisement -

Katanya, keseluruhan jajaran dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2030 dengan projek ini akan dibiayai secara hibrid yang melibatkan sumber pembiayaan seperi sukuk bersama jaminan kerajaan dan juga pembiayaan secara bayaran tertangguh.

“Projek MRT3 diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 4 Mac tahun ini. Hasil kajian kebolehlaksanaan teknikal yang dijalankan, cadangan jajaran terkini projek MRT 3 adalah sepanjang 51 kilometer (km), iaitu 39 km di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan 12 km di Selangor.

“Laluan lingkaran ini akan merentasi rangkaian rel sedia ada, termasuk laluan MRT1, MRT2, LRT, Monorel dan KTM Komuter untuk membentuk 10 stesen pertukaran baharu supaya sistem rangkaian pengangkutan awam di Lembah Klang lebih menyeluruh, berkesinambungan dan efisien,” katanya menjawab soalan lisan Hannah Yeoh Tseow Suan (PH-Segambut) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ka Siong berkata, 80 peratus daripada keseluruhan jajaran ini merupakan laluan bertingkat, manakala 20 peratus adalah laluan bawah tanah.

Menurutnya, projek MRT di Lembah Klang adalah antara projek infra rakyat berskala besar yang dilaksanakan untuk mempertingkatkan kemudahan perkhidmatan pengangkutan awam rel yang cekap, berkesan dan selamat serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar Lembah Klang.

Selain itu, katanya pembinaan MRT 3 dijangka akan melengkapkan jaringan rel metro di Lembah Klang. – HARAKAHDAILY 15/3/2022

- Advertisement -