PRN Johor medan kukuhkan PN

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: PAS menganggap Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai sebuah medan untuk memperkukuhkan kerjasama politik dalam Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presidennya, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata keputusan PN untuk bertanding menggunakan satu logo, satu pengarahan dan satu bilik gerakan akan memantapkan lagi usaha bagi mencapai kemenangan dalam PRN Johor kali ini.

- Advertisement -

“Usaha ini dilihat satu langkah kehadapan dalam muafakat politik antara PAS, Bersatu dan Gerakan berbanding PRN Melaka dan Sarawak.

“PAS sebagai sebahagian dari komponen PN akan melancarkan jentera jentera PRN bersama pada minggu hadapan, di samping melengkapkan beberapa strategi bagi mencapai kemenangan kali ini,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, PN akan meneruskan dan memperkasakan muafakat sebagai satu pasukan dalam menghadapi PRN Johor dan seterusnya bagi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Melalui gerak kerja bersama itu, beliau berharap agar pengundi Johor akan melakukan perubahan besar melalui peti undi bagi memenangkan calon PN dalam PRN Johor,” jelas beliau.

Terdahulu pada 29 Januari lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan PAS dan Bersatu akan bertanding pada PRN Johor menggunakan logo PN.

Menurut beliau, keputusan itu dipersetujui hasil muzakarah antara kedua-dua parti berkenaan. – HARAKAHDAILY 8/2/22

- Advertisement -