Timbalan Presiden PAS hadir di Masjid Kampung Expo

Foto daripada Facebook Dato' Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man hadir ke Masjid Kampung Expo, Kamunting pagi tadi untuk menghadiri solat jenazah almarhum Abdul Rahim Abdul Shukor.

Beliau berpeluang berjumpa sahabat handai, pendukung PAS dan kenalan lain.

Walau bagaimanapun, Ustaz Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) tidak sempat menunggu jenazah almarhum tiba dari Pulau Pinang.

- Advertisement -

Ini kerana beliau terpaksa hadir program KASA yang berlangsung di Ipoh.

“Semoga Allah merahmati almarhum dan kita semua,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Dalam satu hantaran lain, beliau menyatakan terasa terlalu besar kehilangan Abdul Rahim, seorang amilin dan anggota Jabatan Amal Perak.

Menurutnya, almarhum sentiasa menyarung baju merah tanpa lelah berkhidmat dalam program PAS dan juga aktiviti kemasyarakatan yang lain.

“Tiada lain melainkan hanya doa yang dipanjatkan ke hadrat Allah agar mengampuni, merahmati, mengasihi dan menempatkan almarhum bersama orang-orang yang ikhlas berjuang kerana Allah. Insya-Allah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Abdul Rahim, 71, yang dikenali dengan panggilan ‘Pak Rahim Komando’ dilaporkan tenat sejak seminggu lalu dimaklumkan menghembus nafas terakhir pada kira-kira jam 4.40 petang semalam di rumah anaknya di Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 8/2/2022

- Advertisement -