Ar Rahn miliki 100 cawangan di seluruh negara

KOTA KINABALU: Sistem gadaian Islam (Ar Rahn) satu-satunya anak syarikat milik kerajaan negeri Kelantan yang berjaya mengembangkan perniagaan ke seluruh negara termasuk Sabah.

Sehingga sekarang Ar Rahn yang dikendalikan Permodalan Kelantan Bhd (PKB) mempunyai 100 cawangan termasuk 65 yang diurus secara francaise dengan kerjasama beberapa pihak termasuk koperasi.

Pengurus Besar PKB Ramilan Abdul Rahman berkata, PKB mengurus sendiri 35 cawangan termasuk sembilan yang terdapat di Sabah.

Advertisement

Katanya, cawangan tersebut dibahagi kepada zon iaitu zon timur meliputi Kelantan, Kuantan, Raub dan Temerloh. Manakala zon tengah di Kuala Lumpur dan Kajang. Dan zon selatan Masai dan Skudai di Johor.

“Zon utara meliputi Sungai Petani dan Kangar,” katanya pada taklimat kepada rombongan Assabiqun dari Tumpat sempena lawatan ke premis Ar Rahn Api-Api dekat sini hari ini.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah PKB Mohd Yassin Yusof, Pengurus Pentadbiran dan Harta Ar Rahn Hassan Shukri, Pengurus Operasi Ar Rahn Wan Azman Wan Mahmood Ketua Operasi Ar Rahn Zon Sabah Kamaruddin Mat Luwi dan Pengerusi Asssabiqun Tumpat Wan Zakaria Wan Sulaiman.

Ramilan juga berkata, Ar Rahn di Sabah terdapat sembilan cawangan yang bermula di Putatan dan Api-Api di Kota Kinabalu pada 2014, dan kini berkembang ke Sempurna, Kota Belud, Tawau, Sandakan, Keningau, Tuaran dan Beufort.

“Manakala di Kelantan ada 14 cawangan Ar Rahn yang bermula berhampiran dengan Pasar Pohon Pinang di Pusat Bandar Bandar Kota Bharu,” katanya.

Menurutnya juga PKB sedang mengintai peluang bagi mengembangkan Ar Rahn termasuk ke Sarawak pada masa akan datang.

Beliau juga berkata, usaha mewujudkan Ar Rahn dicetuskan pada era pentadbiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi membebaskan rakyat daripada system gadaian berbentuk riba yang meluas digunakan masyarakat sebelum ini. – HARAKAHDAILY 19/1/2022