Thailand, NGO sampaikan sumbangan mangsa banjir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff amat berbesar hati di atas keprihatinan Kerajaan Negara Thailand kerana telah memudahkan urusan pihak badan bukan kerajaan (NGO) negara itu serta Yayasan Al-Manjie untuk menyampaikan sumbangan yang bernilai lebih daripada RM600,000 kepada mangsa banjir.

Menurutnya, barangan tersebut adalah termasuk 30 tan beras, 3,000 unit kit kebersihan, 3,000 biji bantal, 1,500 unit selimut, 1,000 unit tikar, 1,000 unit toto dan 1,000 unit alas toto.

- Advertisement -

Katanya, dalam usaha memastikan pengurusan kebajikan di pusat pemindahan sementara (PPS) sentiasa dalam keadaan yang bersiap siaga, sebanyak RM35 juta telah dibelanjakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memastikan barangan keperluan mangsa banjir sentiasa mencukupi.

Beliau berkata, sehingga 6 Januari lalu, seramai 134,305 mangsa yang terjejas akibat bencana banjir telah ditempatkan di 1,072 buah PPS seluruh negara.

“Sesungguhnya keprihatinan yang ditonjolkan oleh semua pihak ini amat besar maknanya,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Justeru, beliau mengucapkan  setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin serta semua agensi terlibat.

Katanya, kesinambungan usaha yang berterus membuktikan kerajaan sentiasa komited dalam mengutamakan kebajikan rakyat.

“Syabas dan tahniah kepada semua,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang. – HARAKAHDAILY 8/1/2022

- Advertisement -