Individu tidak divaksin dilarang ke tempat kerja mulai 15 Januari 2022

- Advertisement -


SINGAPURA: Pekerja yang tidak divaksin akan dilarang kembali ke tempat kerja mulai 15 Januari ini, walaupun keputusan saringan sebelum acara (PET) Covid-19 mereka adalah negatif.

Arahan terbaharu ini mengubah keputusan Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, Oktober lalu, yang menyatakan bahawa individu yang tidak divaksin boleh ke tempat kerja mulai Januari ini, jika keputusan ujian saringan Covid-19 adalah negatif.

- Advertisement -

“Susulan penelitian semula dan perbincangan dengan tiga pihak berkaitan, kami memutuskan untuk membatalkan konsesi PET bagi individu tidak divaksin untuk kembali ke pejabat bermula 15 Januari 2022,” kata MOH dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan jam 11 malam tadi.

Mengikut MOH, individu yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, tetapi belum lengkap divaksin akan diberikan tempoh sehingga 31 Januari untuk melengkapkan vaksinasi masing-masing.

Sepanjang tempoh itu, katanya, mereka boleh pergi ke tempat kerja jika keputusan saringan PET adalah negatif.

“Perubahan ini akan membantu melindungi individu tidak divaksin dan mewujudkan suasana tempat kerja yang lebih selamat kepada semua orang,” katanya.

Selain itu, vaksinasi menjadi syarat bagi kelulusan pas jangka panjang baharu, pengeluaran baharu atau pembaharuan pas pekerja dan penduduk tetap (PR) bermula 1 Februari depan.

Menurut MOH, majikan yang pekerja memiliki pas pekerja perlu membuat pengisytiharan ketika membuat permohonan, bahawa pekerja dan ahli keluarga mereka sudah lengkap divaksin ketika tiba di Singapura.

Pemegang pas itu perlu memuat naik sijil vaksinasi dalam sistem Portal Pemeriksaan Vaksinasi di bawah Pihak Berkuasa Imigresen dan Sempadan (ICA), manakala yang tiada sijil digital perlu menunjukkan sijil fizikal kepada petugas di lapangan terbang, operator feri atau di sempadan sebelum berlepas.

Mereka yang gagal menunjukkan dokumen berkenaan tidak akan dibenarkan memasuki kapal terbang atau masuk ke Singapura, kecuali menerima pengecualian khas.

Sebaik tiba di Singapura, pekerja itu perlu mengemas kini rekod vaksinasi dalam Pendaftaran Imunisasi Nasional (NIR), dan diberi 30 hari selepas tiba untuk menjalani ujian serologi dengan keputusan positif di Klinik Persediaan Kesihatan Awam negara itu.

Jika ujian itu negatif, mereka diwajibkan melengkapkan proses vaksinasi di Singapura atau pas pekerja mereka akan dibatalkan.

Mereka yang berusia bawah 12 tahun dikecualikan daripada syarat vaksinasi, manakala yang berumur antara 12 hingga bawah 18 tahun perlu membuat pengisytiharan untuk melengkapkan vaksinasi Covid-19 selepas tiba di Singapura. – HARAKAHDAILY 27/12/21