290 kanak-kanak jadi mangsa jenayah seks luar tabii

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff.
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Seramai 290 kanak-kanak bawah berumur 18 tahun dan ke bawah menjadi mangsa jenayah seks luar tabii sejak 2019 hingga November tahun ini.

Daripada jumlah itu, majoriti mangsa berumur bawah 16 tahun, iaitu seramai 208 orang dan baki seramai 82 mangsa berumur antara 16 hingga 18 tahun.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata sebahagian besar mangsa adalah perempuan, iaitu seramai 176 orang, manakala lelaki seramai 114 orang.

Berdasarkan maklumat Polis Diraja Malaysia (PDRM), katanya bilangan kes jenayah seks luar tabii sepanjang tempoh itu ialah sebanyak 287 kes dengan Selangor mencatat kes paling tinggi, iaitu 94 kes, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 39 kes dan Johor, 37 kes.

“Negeri lain ialah Sabah sebanyak 18 kes, Sarawak (17 kes), Pahang dan Perak (masing-masing 16), Kedah (13), Pulau Pinang (12), Terengganu (9), Negeri Sembilan dan Melaka (masing-masing 8), Kelantan (6) dan Perlis (4),” katanya ketika menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) di Dewan Rakyat, hari ini,

Dalam soalan asalnya, Wan Hassan meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menyatakan pelan strategik jangka masa panjang kementerian untuk menangani kes rogol bawah umur dan sumbang mahram yang masih berleluasa di negara ini.

Siti Zailah berkata, kementerian sentiasa memandang serius isu kepincangan seksual di kalangan masyarakat, terutama yang membabitkan kanak-kanak dan wanita.

Menurutnya, kes rogol dan sumbang mahram merupakan jenayah seksual yang berat dan dosa yang sangat besar, sekali gus memerlukan inisiatif pelbagai pihak untuk membanteras perkara itu.

Sehubungan itu, katanya beberapa strategi jangka panjang dibangunkan untuk menangani isu ini seperti dasar dan pelan tindakan pendidikan kesihatan reproduktif dan seksual.

“Kerajaan mahu meningkatkan kesedaran semua pihak, termasuk wanita, keluarga dan kanak-kanak berhubung pendidikan kesihatan reproduktif dan seksual, serta melahirkan masyarakat yang penyayang, bertanggungjawab dan mengamalkkan gaya hidup sihat dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata, kementerian bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan golongan berkenaan tidak tercicir.

Katanya, pelan strategi kebangsaan bagi menangani perkahwinan bawah umur yang dikendalikan oleh kementerian pula menetapkan komitmen untuk menangani kekurangan dan akses kepada pendidikan kesihatan reproduktif dan seksual serta kemahiran keibubapaan.

“Kita mempunyai empat strategi, iaitu menyediakan platform informasi kepada kanak-kanak dan ibu bapa serta menyediakan perkhidmatan mesra kanak-kanak dan remaja.

“Seterusnya ialah penubuhan pasukan jenayah seksual trerhadap kanak-kanak serta Jawatankuasa Bersepadu Pengurusan Isu Sosial Kanak-Kanak di Media Sosial yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta NGO bagi menangani isu keselamatan siber.

“Kementerian juga mempergiatkan advokasi dan intervensi serta menambah baik aspek perundangan dengan menguatkuasakan kawalan terhadap laman sesawang pornografi kanak-kanak,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/12/21

- Advertisement -