Kabinet tentukan Pilihan Raya Umum

Takiyuddin menyerahkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Jalan Sulatnah Zainab, Kota Bharu, Kelantan hari ini.
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Keputusan menentukan Pilihan Raya Umum (PRU) dibuat oleh Kabinet dan bukan mana-mana parti tertentu.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, berkata, Kabinet yang dianggotai pelbagai parti yang menentukan perkara itu.

- Advertisement -

“Kabinet terdiri daripada pelbagai parti. Maka, biarlah Perdana Menteri yang menentukan tarikh PRU,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Jalan Sultanah Zainab di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan, yang meminta PRU diadakan dalam tempoh terdekat.

Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, kerajaan Persekutuan sekarang dibentuk hasil gabungan pelbagai parti, termasuk PAS.

Beliau berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kemenangan itu hanya dalam konteks negeri itu.

“Saya melihat ia isu berbeza. Jangan lupa kerajaan yang diterajui BN juga dianggotai oleh PAS, Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan juga tidak akan stabil tanpa gabungan semua parti berkenaan. – HARAKAHDAILY 22/11/21

- Advertisement -