KKMM tegas tangani isu hina Islam di media sosial

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengambil pendekatan bekerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan bagi menangani isu penghinaan terhadap agama Islam dalam media sosial.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata KKMM melalui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN).

- Advertisement -

Menurutnya, kerjasama ini meliputi aspek mengenal pasti kandungan berunsur kebencian terhadap agama Islam serta bantuan teknikal SKMM kepada agensi penguatkuasa.

Katanya, kerajaan melalui SKMM dengan kerjasama PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pelaku jenayah siber yang mengganggu gugat keselamatan negara kepada agama Islam serta agama lain.

“Kerajaan melalui SKMM komited mengukuhkan kerjasama dengan PDRM bagi membanteras jenayah dan melindungi pengguna internet dalam negara, termasuk isu berkaitan ketenteraman awam di media sosial.

“Melalui pengukuhan kerjasama ini, pemantapan kebolehoperasian bersama pasukan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) PDRM telah dimulakan,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) mengenai langkah strategik SKMM bagi menangani isu penghinaan terhadap agama Islam yang masih berleluasa dalam media sosial.

Annuar berkata, kerjasama ini memudahkan penyelarasan bagi mengenal pasti kandungan yang boleh menggugat ketenteraman awam, termasuk kandungan berkaitan penghinaan terhadap agama, kaum dan Institusi Beraja

Katanya, SKMM juga diminta melihat semula prosedur operasi standard (SOP) tindakan untuk mengkaji mengikut ruang undang-undang sedia ada bagi tindakan lebih proaktif dilakukan.

“Oleh itu, SKMM sedang merujuk Jabatan Peguam Negara bagi membolehkan pentafsiran lebih jelas di bawah undang-undang sedia ada. Ini bagi menjatuhkan hukuman atau tindakan lebih tegas dan pantas tanpa kompromi dilakukan terhadap penghinaan agama Islam dan juga agama-agama lain,” katanya.

Setakat Oktober lalu, sebanyak 10 kertas siasatan dibuka oleh SKMM dan satu kes telah didakwa di mahkamah. – HARAKAHDAILY 18/11/2021

- Advertisement -