Kedutaan China sumbang RM100,000 kepada JAWI Food Bank

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Food Bank di Kompleks Islam di sini, pagi tadi.

Gimik penyampaian replika cek berjumlah RM100,000 telah diserahkan oleh Duta Besar Republik Rakyat China di Malaysia, Ouyang Yujing kepada Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail yang turut disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.

- Advertisement -

Menurut JAWI, sumbangan tersebut akan digunakan bagi menjayakan misi bantuan Musaadah Covid-19 dan inisiatif Dapur It’am melalui JAWI Food Bank yang bakal memberikan manfaat kepada penerima daripada pelbagai lapisan masyarakat di Wilayah Persekutuan termasuk frontliner kesihatan dan keselamatan, B40, peniaga kecil, saudara baru, ibu tunggal, pemandu teksi dan bas sekolah, pemandu p-hailing dan e-hailing, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) serta tidak ketinggalan golongan rakan jalanan termasuk rakan bukan Islam.

“Sehingga kini JAWI Food Bank telah mengagihkan sumbangan bernilai RM4.8 juta yang memanfaatkan pelbagai golongan masyarakat yang terkesan dan memerlukan khususnya di Wilayah Persekutuan,” ujar JAWI dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, sumbangan oleh Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia kepada JAWI Food Bank itu merupakan sumbangan kali ketiga setelah sumbangan yang sama berjumlah RM300,000 pada Mei 2020 dan April 2021 yang lalu diterima oleh Tabung Musaadah Covid-19 Wilayah Persekutuan. – HARAKAHDAILY 18/11/2021

- Advertisement -