Dewan Rakyat: Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 lulus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 atau Bajet 2022 di peringkat dasar.

RUU itu diluluskan dengan undian suara selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang tanpa perlu melalui undian belah bahagi.

- Advertisement -

Sebelum itu, Ahli Parlimen dari Warisan dan Pejuang berusaha untuk mendapatkan sokongan Pakatan Harapan (PH) bagi membolehkan undian belah bahagi dijalankan.

Bagaimanapun, usaha mereka untuk mendapat sekurang-kurangnya sokongan 15 Ahli Parlimen tidak berjaya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Dato’ Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, menggulung perbahasan lebih sejam.

Kelulusan RUU ini akan membolehkan kerajaan menggunakan dana di bawah Kumpulan Wang Disatukan untuk tujuan perbelanjaan negara bagi tahun depan.

Minggu depan, perbahasan akan melalui peringkat jawatankuasa sebelum pengundian sekali lagi dilakukan.

Selain Kementerian Kewangan, empat kementerian lain yang menggulung perbahasan hari ini ialah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. – HARAKAHDAILY 18/11/21

- Advertisement -