Penerbangan VTL harian Singapura-Malaysia: 6 syarikat terpilih

Seorang penumpang dirakam di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 14 Januari 2021 (Foto AFP).
- Advertisement -

SINGAPURA: Enam syarikat penerbangan telah ditetapkan untuk menyediakan penerbangan laluan perjalanan vaksinasi (VTL) antara Singapura dan Malaysia, dengan satu perkhidmatan setiap hari.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Khamis (18 Nov) berkata, enam syarikat penerbangan itu ialah AirAsia, Jetstar Asia, Malaysia Airlines, Malindo Air, Scoot dan Singapore Airlines.

VTL antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dilancarkan pada 29 Nov ini.

Permohonan Pas Perjalanan Vaksinasi (VTP) untuk pelancong dari Malaysia akan dibuka bermula pada 22 Nov ini,  jam 10 pagi.

- Advertisement -

“Singapura dan Malaysia menikmati hubungan ekonomi yang kukuh dan hubungan rakyat dengan rakyat yang mesra,” kata CAAS dalam satu siaran media, merujuk laporan CNA.

“VTL bersama adalah langkah penting dalam membuka semula sempadan antara dua jiran rapat (Malaysia dan Singapura), memudahkan perniagaan dan membolehkan banyak keluarga bersatu semula.

“Sebelum wabak Covid-19, Malaysia adalah antara tiga pasaran teratas untuk ketibaan penumpang tahunan di Lapangan Terbang Changi,” kata CAAS.

Menurut CAAS lagi, hubungan Singapura-Kuala Lumpur juga merupakan laluan udara antarabangsa paling sibuk di dunia, dengan kira-kira 40 penerbangan setiap hari dan purata 7,000 ketibaan sehari di Lapangan Terbang Changi.

“Di bawah skim perjalanan tanpa kuarantin, pengembara yang divaksin sepenuhnya dari negara VTL boleh memasuki Singapura tanpa kuarantin dan hanya perlu menjalani ujian Covid-19.

“Kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah yang tidak divaksin akan dibenarkan melakukan perjalanan di bawah VTL ke Singapura jika mereka ditemani oleh pengembara VTL yang memenuhi semua keperluan VTL.

“Syarat kemasukan ke Singapura di bawah VTL untuk Malaysia adalah sama seperti syarat untuk VTL sedia ada,” jelas CAAS. – HARAKAHDAILY 18/11/2021

- Advertisement -