KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan tidak pernah mengubah peraturan larangan menjual arak di kedai serbaneka sesuka hati sebagaimana dakwaan Ahli Parlimen pembangkang.
Menterinya, Dato’ Seri Shahidan Kassim, berkata setiap peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksana dibuat kajian terlebih dahulu.
“Jadi dakwaaan Shah Alam (Khalid Abd Samad-Amanah) adalah tidak berasas kerana peraturan dibuat berdasar libat urus yang diadakan sebelum ini.
“Jangan hendak buat dakwaan SOP itu diubah sesuka hati, ia adalah tidak benar,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 bagi kementerian tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.
Persidangan Dewan Rakyat agak kecoh seketika apabila Ahli Parlimen DAP bangun silih berganti mempersoalkan peraturan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) menghalang penjualan arak di kedai serbaneka dan kedai ubat Cina.
Malah Shahidan dengan nada berseloroh mengatakan adakah wakil rakyat terbabit mewakili mereka yang minum arak atau penjual.
DBKL menguat kuasa larangan penjualan arak (liquor) di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina bermula 1 November lalu, selepas ditangguh sebelum ini bagi mengadakan libat urus dengan pemegang taruh.
Syarat baharu itu terkandung dalam permohonan Lesen Minuman Keras (LMK).
Shahidan juga berkata, peraturan tersebut dikuat kuasa bagi menghalang penjualan samsu haram secara berleluasa dan tidak terkawal.
Menurutnya, penjualan arak di kedai serbaneka dikawal bagi mengelakkan aktiviti minum arak berleluasa biarpun ia dilakukan di rumah.
Bagaimanapun, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mahu kerajaan membuat kajian jumlah kes pemandu mabuk berpunca minum arak di pub atau kedai serbaneka.
Shahidan berkata, biarpun minum arak di rumah ia tetap mabuk dan membahayakan apabila memandu. – HARAKAHDAILY 18/11/21