Dari Marang ke Durian Tunggal

- Advertisement -

HARI ini, saya bersama dua lagi rakan media, Zam Zam dan Faizol, mengambil tugasan dari kumpulan pertama yang sudah selesai menjalankan tugasan mereka di Durian Tunggal. Pasukan dari Terengganu, diarahkan khusus membantu jentera DUN Durian Tunggal, salah satu DUN yang ditandingi PAS di bawah lambang Perikatan Nasional (PN), yang mempunyai potensi besar untuk menang.

Saudara Ja’afar Othman, atau lebih dikenali sebagai Jakpo, 45, telah dipilih untuk berbaiah dengan PAS bagi menjadi calon dan seterusnya akan membawa perjuangan PAS dan PN ke DUN, sekiranya dipilih oleh rakyat Sabtu ini. Anak jati Padang Keladi, Durian Tunggal yang sentiasa tersenyum ini, kelihatan begitu bersemangat, tidak merasa lelah dengan situasi kempen yang dipenuhi dengan jadual yang padat.

- Advertisement -

Jakpo antara calon terbaik yang dipilih oleh PN melalui syura PAS. Beliau ditugaskan untuk terus mengangkat integriti calon PAS yang sehingga kini, belum didapati menyalahgunakan kuasa. PAS insya-Allah tidak ketandusan melahirkan calon-calon yang berwibawa bagi memberikan khidmat terbaik kepada rakyat. Ia dibayangi juga dengan faktor Abah Muhyiddin yang disukai rakyat Malaysia. Jadi, ia adalah gabungan sempurna PAS dan PN di Melaka.

Antara isu yang sering menjadi perdebatan rakyat Durian Tunggal ialah isu banjir yang tidak berkesudahan semenjak lama dahulu. Masalah capaian internet juga menjadi satu lagi harapan besar penduduk sekitar untuk diselesaikan. Manakala ketika semakin ramai rakyat mempunyai kenderaan, aliran trafik yang dianggap agak sesak di sini juga menjadi tumpuan Jakpo untuk diketengahkan.

Meneliti laporan berkenaan sambutan pengundi terhadap Jakpo, beliau dilaporkan agak disenangi penduduk setempat. Ada pada satu situasi, beliau secara spontan dijemput oleh tuan rumah yang berkebetulan sedang mengadakan kenduri (dengan pematuhan SOP) dengan panggilan ‘jemput masuk YB’. Semoga ia menjadi satu doa yang dimakbulkan Allah. Dan dalam satu kejadian kemalangan yang berlaku betul-betul di hadapan markas operasi PN, beliau membantu mangsa yang sedang kesakitan itu. Ia turut dirakam oleh kru RTM.

Pemegang ijazah Sains Gunaan Kimia Analisis, USM, sebelum ini mempunyai syarikat sendiri yang secara khusus terlibat dengan konsultan berkaitan keselamatan dan kebersihan pekerjaan. Jakpo telah terlibat dengan politik lebih 10 tahun lalu sehingga kepada jawatan Ketua Penerangan PAS Melaka. Tidak setakat politik dan perniagaan, hubungan dengan masyarakat setempat juga amat baik dengan beliau juga terlibat secara langsung dalam persatuan penduduk dan menjadi AJK Masjid An-Naim Durian Tunggal.

Dengan SOP yang ketat dan juga cara berkempen norma baharu, Jakpo, selain berkelebihan sebagai calon anak jati, turut mengharapkan jentera media yang membantu kempen beliau akan dapat mengatasi media lawan. Beliau yakin dengan keupayaan media PAS dan PN yang ada kerana semua parti sekarang tidak boleh mendabik dada disebabkan strategi dan cara baharu yang terpaksa dihadamkan oleh semua jentera.

Insya-Allah saya akan bawakan berita-berita berkenaan Jakpo, calon PN di Durian Tunggal selama berada di sini, bagi anda, yang bukan sahaja untuk membacanya, tetapi lebih dari itu, memohon anda semua turut berkongsi berita berkenaan beliau bagi memberi gambaran yang lebih jelas mengenai hasrat dan harapan PN untuk merealisasikan slogan yang beliau iaitu 3S Selamat, Sihat, Sejahtera.

Mari kita sama-sama membantu Jakpo melalui media sosial. Anda adalah sebahagian pasukan kempen Jakpo. Selamat mengundi bagi pengundi awal PRN Melaka hari ini.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 16/11/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -