Judi: Wajar negeri lain jejaki langkah Kedah

Tuan Guru Dato’ Ustaz Hashim Jasin
- Advertisement -

KANGAR: Negeri-negeri lain dan Kerajaan Pusat wajar mengikut jejak langkah kerajaan Kedah yang tidak lagi mengeluarkan lesen premis judi dan mengawal jualan arak.

Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin, berkata sejak dari dahulu lagi, PAS berpandangan semua negeri di Malaysia mengambil langkah menghentikan lesen premis judi.

“Mungkin sukar untuk melaksanakan perkara ini sekali gus, namun usaha ke arah perkara baik wajar dilakukan secara beransur-ansur termasuk Kerajaan Pusat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

- Advertisement -

Semalam, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengumumkan pihak berkuasa tempatan di negeri itu tidak akan mengeluarkan lesen premis judi di samping mengawal jualan arak.

Menurut beliau, lesen premis yang tamat tempoh tidak boleh lagi diperbaharui.

Bagaimanapun, langkah kerajaan Kedah mendapat tentangan Dewan Perhimpunan Cina Kedah (DPCK) yang menyifatkan keputusan tersebut tidak selaras dengan Kerajaan Pusat.

Tuan Guru Hashim juga berkata, kerajaan perlu memberi penerangan kepada masyarakat bahawa aktiviti judi akan memudaratkan kehidupan masyarakat.

“Sememangnya menjadi kebiasaan kepada masyarakat bukan Islam, judi dan sebagainya, namun sebenarnya mereka sendiri faham bahawa judi itu tidak baik.

“Akibat judi banyak yang kecewa dalam hidup. Oleh itu kita tidak boleh putus asa dan akan terus memberi kesedaran kepada masyarakat, judi adalah perkara yang merosakkan masyarakat,” katanya.

Oleh itu kata beliau, Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Kedah kerana tidak lagi mengeluarkan lesen premis judi di seluruh negeri terbabit.

Menurutnya juga pemimpin yang diberi kuasa harus menggunakannya ke arah perkara yang mendatangkan kebaikan kepada masyarakat umum khasnya.

“MSU mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Kedah yang mengeluarkan arahan memberhentikan lesen judi.

“Langkah itu dimulakan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan pada awal 1990-an,” katanya.

Beliau juga berkata, judi bukan sahaja boleh merosakkan masyarakat malah daripada aktiviti itu mengundang situasi yang buruk dalam sesebuah institusi kekeluargaan. – HARAKAHDAILY 15/11/21

- Advertisement -