Malaysia ada formula muncul negara berteknologi tinggi

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melaksanakan empat pendekatan baharu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata dalam pendekatan pertama, beberapa program dilaksanakan melalui Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021- 2030.

- Advertisement -

Katanya, program berkenaan ialah Rangka Kerja Malaysia Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (MySTIE) 10-10, Pemacu Pengkomersialan Teknologi (TCA), Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS), Teknologi Tinggi, Sentuhan Rendah (HTLT) dan MyTech Pitch.

“Bagi pendekatan kedua, iaitu di bawah Majlis Ekonomi Digital dan 4IR, MOSTI dipertanggungjawab menerajui Kluster Teknologi Baru Muncul untuk menyelaras pelaksanaan inisiatif yang menyokong Rangka Tindakan Ekonomi Digital ke arah mengupayakan sektor perniagaan melalui transformasi pendigitalan.

“Pendekatan ketiga pula ialah melalui Pembangunan Pelan Hala Tuju teknologi dalam pelbagai bidang keutamaan,” katanya menjawab soalan Dato’ Seri Utama Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Amzad berkata, bidang keutamaan itu ialah pembangunan vaksin, elektrikal dan elektronik, blockchain, ekonomi hidrogen, teknologi nano, kecerdasan buatan, robotik dan bahan termaju.

Katanya, pendekatan keempat ialah menyusun semula skim pembiayaan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan memberi penekanan kepada aspek pembangunan eksperimental.

“Sasaran kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ialah agihan perbelanjaan R&D eksperimental kepada Perbelanjaan Dalam Negara Kasar bagi Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) perlu ditingkatkan daripada 24.5 peratus pada tahun 2018 kepada 50 peratus menjelang tahun 2025.- HARAKAHDAILY 3/11/21

- Advertisement -