Nuridah Mohd Salleh menang tanpa bertanding Ketua Muslimat

Oleh SARINA ISMAIL

KUALA LUMPUR: Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh, kekal menerajui Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) untuk sesi 2021/2023 apabila menang tanpa bertanding dalam pemilihan jawatankuasa sempena Muktamar DMPM.

Turut menang tanpa bertanding ialah Dr Rosni Adam sebagai Timbalan Ketua dan Ustazah Salmiah Mohd Noor sebagai Naib Ketua.

Advertisement

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Mohd Nurkhuzaini Abd Rahman, berkata pihaknya menerima 661 kertas undi melalui pengundian e-Voting dari perwakilan seluruh negara, semalam.

“Seramai 738 perwakilan seluruh Malaysia layak mengundi pada muktamar kali ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 661 kertas undi diterima,” katanya ketika mengumumkan keputusan pengundian saf kepimpinan DMPM Sesi 2021/2023 di sini, hari ini.

Sementara itu, 12 calon yang mendapat undian tertinggi, sekali gus terpilih dalam jawatankuasa DMPM ialah Dr Najihatul Solehah Ahmad (639 undi), Dr Uyun Malik (573), Norain Husin (555), Wan Hasrina Wan Hassan (546) dan Mumtaz Md Nawi (540).

Turut tersenarai, Dr Mardiyah Hayati Salleh (539), Asma Husin (527), Zuraida Md Noor (517), Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali (492), Dr Reen Mohd Noor (487), Cik Faridah Ismail (486) dan Dr Azimah Ibrahim (480).

Mohd Nurkhuzaini juga mengumumkan Pengerusi Tetap, Husna Saidon; Timbalan Pengerusi Tetap, Nor Zarina Mohd Azhar; Pemeriksa Kira-Kira, Basmatul Uyun Yusuf dan Normilan Mangat, masing-masing mengekalkan jawatan tanpa bertanding.

Muktamar Tahunan DMPM Ke-61 diadakan secara hibrid selama dua hari yang berakhir hari ini. – HARAKAHDAILY 31/10/21