
Syajarah tayyibah naungan perjuangan PAS
FIRMAN Allah SWT di dalam surah Ibrahim ayat 24-26, maksudnya: “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya setiap musim, dengan seizin Rabbnya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu beringat. Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya daripada permukaan bumi, tidak dapat tegak sedikit pun.”
PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang menjadi mata rantai perjuangan bukanlah sesuatu keberadaan yang baru. Wujudnya sebelum negara mencapai kemerdekaan adalah hasil kesedaran dan ijtihad para ulama’ untuk memperjuang kemerdekaan sebenar dan menegakkan Islam di Malaysia.
Kewujudannya berpaksikan aqidah Islam menerusi tuntunan wahyu Al- Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias.
Berdasarkan Perlembagaan PAS tujuan penubuhannya bermatlamat terbinanya sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam bersama-sama hukum-hakamnya menuju keredhaan Allah.
Kenyataan tersebut memandu iltizam PAS bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. Dewan Muslimat antara tulang belakangnya terdiri daripada para ibu, isteri dan muslimat muda adalah ansarullah pelbagai peringkat umur, mara ke tengah masyarakat dalam landasan syariat bersama berjuang menuntut kemerdekaan. Terus mengizzahkan Islam dengan asuhan didikan sehingga wujudnya generasi umat yang mampu membina dan mengaplikasikan konsep Islam di dalam seluruh aspek kehidupan bernegara dan bermasyarakat.
Sesuai dengan perubahan zaman, Dewan Muslimat terus menongkah arus komited menerusi proses pentarbiyahan yang bersistematik melahirkan Muslimat yang tahan diuji. Muslimat yang asas ilmunya ibarat akar menjunam mencengkam ke bumi, memahami dan menyedari peranannya serta tidak mudah goncang tatkala berhadapan dengan badai kemelut dalaman parti mahupun ribut serangan tersusun daripada pihak luar.
Sesungguhnya ahli-ahli PAS datang dan pergi silih berganti sesuai dengan takdir perubahan zaman. Namun Dewan Muslimat terus mara dan tetap releven, memimpin umat di medan siasah sebagai wasilah dakwah dengan mengutamakan pendekatan muwajahah silmiyyah, sesuai dengan waqi’ dan maqasid syariah Malaysia yang terdiri daripada rakyat majmuk berbilang agama dan bangsa.
Seruan kesatuan ummah
Kita menyedari pelbagai agenda perpaduan diuar-uarkan di atas nama cintakan negara. Dewan Muslimat berpendirian cara terbaik untuk bersatu adalah dengan kembali kepada Islam yang sebenar. Berpadu sepenuh hati dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan.
Sesungguhnya dengan wahyu Illahi inilah negara Islam Madinah menjadi teladan sebagai model sebuah negara yang kuat dan digeruni oleh lawan. Para sejarawan memberi pengiktirafan bahawa ianya adalah sebuah negara Islam yang melaksanakan syariat secara benar sebagai kerajaan yang adil, aman dan selamat di sepanjang pemerintahannya.
Inilah peranan kesatuan yang mesti dibawa oleh anggota gerakan Islam di dalam agenda memperkasa umat Islam melalui gabungan komponen Muafakat Nasional mahupun Perikatan Nasional.
Alhamdulillah, kita telah berjaya mewujudkan persefahaman di atas nama keadilan untuk semua tanpa dendam politik serta mengukuhkan pegangan demokrasi di Malaysia. Oleh itu Dewan Muslimat hendaklah sentiasa berjiwa besar untuk menghulur tangan dan menyambut baik ajakan sesiapa sahaja untuk menyelesaikan masalah ummah dan masyarakat dengan penuh kejujuran.
Agenda Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera
Dewan Muslimat menyambut baik konsep “Keluarga Malaysia” yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri. Kami menyokong penuh perlaksanaan konsep ini dengan meletakkan Islam sebagai tunggak asas konsep dan perlaksanaan bagi menjamin kesejahteraan kepada negara khususnya kepada para ibu, isteri dan anak-anak perempuan termasuklah golongan rentan. Dewan Muslimat percaya bahawa “Baik Wanita Baiklah Negara”.
Islam sememangnya meletakkan sistem kekeluargaan sebagai teras kepada kesejahteraan kemasyarakatan dan politik kenegaraan. Di dalam sistem keluarga Islam, kaum lelaki adalah pemimpin utama manakala wanita adalah rakan kongsi lelaki bagi memastikan kesejahteraan setiap anggota keluarganya. Allah berfirman di dalam surah an-Nisa’: ayat 34, maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang- orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah RasulNya dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar”.
Para ulama menjelaskan di antara ciri “qawwam” ialah memberi nafkah kepada anak dan isteri. Bagaimanakah seorang lelaki mahu menganggap dirinya qawwam sedangkan dengan tubuh badan yang sihat, dia tidak berusaha mencari rezeki untuk menyara keluarganya, makan minum anak isterinya tidak terjaga, dan mengemis makan di rumah orang. Malah lebih besar lagi tugas seorang lelaki qawwam ialah melindungi keluarganya daripada bahaya di dunia dan akhirat. Sebagai qawwam juga, kaum lelaki dituntut bersikap adil dan penuh rahmah kepada isteri yang dipoligami. Bagaimanakah seorang lelaki menjadi qawwam jika dia itu sendiri adalah bahaya dan mudharat kepada anak dan isterinya?
Adalah memalukan apabila ada kaum lelaki berhujah dengan ayat al-Quran dan al-Hadis untuk mempertahankan apa yang dia lakukan kepada anak dan isterinya, sedangkan dia menyeksa anak dan isteri secara sedar dalam pelbagai sudut. Bagaimana seorang lelaki itu boleh dianggap qawwam jika dia sendiri tidak kisah ada kalangan ahli keluarga perempuannya terdedahkan dengan amalan kemaksiatan, menggugurkan anak dalam kandungan kerana terjebak dengan kerakusan lelaki yang berjiwa binatang. Bagaimana seorang lelaki boleh dianggap qawwam jika dia berpoligami, dia bertindak tidak adil dan menipu sehingga ke tahap apabila orang bertanya tentang anaknya, maka dia tidak mengakui itu anaknya kerana mahu menyembunyikan statusnya yang mempunyai lebih daripada seorang isteri?
Statistik perceraian dan keganasan rumahtangga semakin meningkat hari demi hari sebanyak 66,440 permohonan cerai membabitkan pasangan Islam difailkan di mahkamah syariah seluruh negara sejak Mac 2020 hingga Ogos 2021. Selepas tercetusnya gelombang ketiga dan pelaksanaan PKP 2.0, hampir 80 peratus ibu bapa menyatakan kehidupan mereka mulai terkesan dari segi ekonomi dan kesihatan mental. Kepemimpinan lelaki yang pincang di peringkat rumahtangga pastinya tidak mampu menghayati konsep qawwam yang berteraskan kebertanggungjawaban terhadap amanah ubudiyyah dan khilafah. Seterusnya akan menggagalkan agenda keluarga Malaysia yang memperolehi mardhatillah. Justeru, amatlah sesuai jika Keluarga Malaysia ini mewujudkan satu mekanisme melahirkan keperibadian qawwam dalam kalangan kaum lelaki.
Masyarakat majmuk merupakan salah satu tanda kekuasaan Allah SWT yang bertujuan untuk penyatuan ummah. Pendidikan nilai keluarga Malaysia yang berdasarkan Islam akan menekankan keadilan dan kesejahteraan. Justeru itu menuntut agar umatnya berlaku adil dan saksama kepada setiap orang dan membela mereka yang dizalimi tanpa mengira status dalam masyarakat, warna kulit, jantina dan peringkat umur. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ma’idah, ayat 8, maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.
Sayugia itu Dewan Muslimat menyeru agar agenda Keluarga Malaysia ini mestilah berpaksikan Islam. Ianya selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas mengisytiharkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Ianya memberi makna bahawa negara berpandu kepada Islam untuk melaksanakan segala nilai-nilainya dalam pemerintahan. Tiada yang mustahil dengan mempercayai Islam mampu membina keluarga Bahagia – keluarga Malaysia. Sejarah membuktikan bahawa bernegara secara Islam di dunia ini membuahkan kejayaan dan kesejahteraan hidup. Teladan daripada Rasulullah SAW seperti Piagam Madinah yang telah menjadi rujukan undang- undang antarabangsa dan perlembagaan negara hasil daripada jaminan keselamatan yang diberikan kepada setiap warganya.
Gagasan Pendidikan Saidatina Aisyah
Dewan Muslimat juga mengambil perhatian serius terhadap lambakan konten di media dan pengiklanan yang tidak senonoh dan tidak sesuai dengan budaya amalan masyarakat Malaysia serta bertentangan dengan syariat Islam. Di atas nama kebebasan media kita melihat adanya unsur pengiklanan yang mempergunakan dan menghina wanita. Malah wujudnya konten yang tidak membangun akal dan jiwa masyarakat ke arah menjadi seorang yang cergas, bermotivasi serta berjiwa patriotik. Kandungan jelek yang sekadar hiburan murahan tanpa ada unsur-unsur bertaqwa.
Justeru itu dengan tegasnya Dewan Muslimat membantah dan meminta usaha yang lebih agresif dan berkesan dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia agar tegas memantau dan mengekang aplikasi atau rangkaian media yang mempunyai unsur pedofelia dan seksual. Terdapat juga iklan-iklan yang sengaja mendedahkan aurat wanita tanpa ada kaitan langsung dengan promosi produk, arak, judi dan unsur-unsur pelacuran. Juga tayangan berbentuk video dan filem yang berunsur maksiat dan keganasan sehingga secara sedar mahupun tanpa sedar ianya merosakkan agenda Keluarga Malaysia.
Apakah nasib generasi hadapan nanti pada 10-20 tahun akan datang dan bagaimanakah corak kepimpinan negara yang kita inginkan untuk diharapkan membangunkan dan mengisi kepimpinan negara? Ini haruslah kita teliti sebelum kita membantah tindakan yang baik dilakukan oleh pihak kerajaan.
Sehubungan itu, Dewan Muslimat ingin mewujudkan satu aliran sistem pendidikan kaum perempuan, kaum ibu dan isteri ke arah menjadi insan yang dalam ilmunya dan kuat imannya. Sebagai contoh di Indonesia, ketika penjajah Jepun berusaha merosakkan kaum wanita Islam, mereka mewujudkan Rumah Kuning, pada saat itu, muncullah gerakan bernama Anggota Dewan Ibu (ADI) Sumatera Tengah. Tujuannya adalah untuk membela kaum wanita supaya tidak dijadikan hamba nafsu seks penjajah Jepun. Begitu juga Syeikhah Rahmah al-Yunusiyah yang Berjaya mewujudkan sekolah Diniyyah Puteri Padang Panjang untuk kaum perempuan, isteri, janda, dan para ibu. Wanita ini juga mempelopori Sekolah Menyesal, iaitu sekolah belajar huruf dan membaca yang berusaha agar ramai perempuan yang pandai membaca dan mengira. Sedangkan Indonesia sendiri tidak terfikir untuk membuat itu, selepas merdeka barulah diwujudkan program Pemberantasan Buta Huruf di Indonesia. Wanita jugalah sanggup menggadaikan emas dan harta wangnya untuk kemerdekaan negara.
Firman Allah SWT di dalam surat At-Taubah, ayat 122, maksudnya: “Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.”
Banyak lagi contoh wanita yang cemerlang sama ada sebagai pendidik mahupun ahli gerakan yang dalam masa yang sama seorang remaja muslimat muda, ada juga para ibu, janda dan para isteri. Oleh itu kita ingin membangunkan sekolah Gagasan Pendidikan Saidatina Aisyah bermula daripada madrasah sehingga ke peringkat Universiti. Selama ini ramai orang perempuan pergi haji termasuklah menghadiri kuliah mahupun hadir berdemonstrasi, lebih daripada kaum lelaki. Kita mahu mengasah jiwa fitrah kewanitaan anugerah Illahi dengan pelaksanaan sekolah yang akan melahirkan puteri yang berjiwa islami, dan guru yang cekap, aktif, serta bertanggungjawab. Juga cintakan tanah air atas dasar pengabdian kepada Allah SWT.
Generasi wanita hebatlah bakal mewujudkan generasi pelapis rakyat yang berilmu dan cintakan tanah air lebih daripada sayangkan dirinya sendiri. Justeru, saya meminta agar kita semua menyokong usaha ini samaada dari sudut kewangan dan tenaga bagi menjayakan idea ini apabila dilancarkan kelak. Cukuplah kita dengar pelbagai kezaliman kepada kaum wanita di dalam berita, seolah-olah wanita ini hanyalah hamba kepada suami, malah dilihat sebagai insan yang tiada ilmu dan perasaan serta nilaian bakti dan pengorbanannya.
Wanita Sejahtera dalam agenda Keluarga Malaysia
Penglibatan kaum wanita semakin meningkat di dalam sektor awam dan swasta menunjukkan wanita telah memainkan peranan yang signifikan dalam pembangunan ekonomi, politik dan sosial di negara kita. Dewan Muslimat menyedari berlakunya perubahan yang besar era pandemik Covid19 terhadap norma masyarakat yang berhadapan dengan masalah spiritual, material dan sosial. Kepimpinan keluarga yang berpusat kepada kaum lelaki yang memainkan peranan memimpin wanita dan ahli keluarga memerlukan wacana baru sesuai dengan tuntutan zaman.
Bagi memastikan kelangsungan kesejahteraan kaum wanita dalam sebuah keluarga besar Malaysia, Dewan Muslimat sangat mengambil serius terhadap musibah Covid19 dimana mangsanya sangat tertekan. Beban yang menimpa ahli keluarga yang kehilangan ketua keluarga/wali, keruntuhan rumahtangga disebabkan tekanan ekonomi dan kehilangan mata pencarian amat parah.
Justeru, peranan ibu bapa dan wali haruslah digiatkan dan diperkasakan dengan program yang berimpak tinggi dan celik undang-undang dengan peruntukan kewangan yang mencukupi di bawah perlaksanaan agenda Keluarga Malaysia. Dewan Muslimat menyedari bahawa keluarga adalah unsur pertama yang penting bagi pembentukan sebuah masyarakat seterusnya negara dan inilah yang kita perjuangankan. Kegagalan mewujudkan kelompok keluarga yang bertepatan dengan ciri-ciri Islam akan membantutkan usaha kita mencapai matlamat negara berkat dan maju. Hubungan kemasyarakatan yang saling bahu membahu inilah yang membentuk keutuhan sistem ekonomi di Madinah semasa bermulanya kedatangan Nabi Muhammad SAW melalui perjanjian Baiah ‘Aqabah ke-2 yang menuntut komitmen untuk menjaga hubungan sosial sesama manusia.
Muslimat PAS rujukan masyarakat
Pada hari ini, Dewan Muslimat sudah mampu bergerak lebih ke hadapan dengan keanggotaan muslimat yang memiliki kelayakan di dalam pelbagai bidang pengkhususan. Muslimat PAS yang mempunyai kebolehan seperti para ustazah atau pakar bidang pembangunan insan perlu tampil menjadi rujukan masyarakat dalam organisasi masing-masing.
Kita dapat lihat, kerajaan telah mengumumkan dasar untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan dan dasar di sektor awam pada tahun 2004 dan di sektor swasta pada tahun 2011. Lebih 12 tahun berlalu, matlamat ini masih belum tercapai. Apatah lagi situasi pandemik turut memberi kesan kepada peranan wanita di rumah dan dalam masyarakat.
Walaupun data terkini menunjukkan bahawa 38.2 peratus daripada pembuat keputusan di sektor perkhidmatan awam adalah wanita, peratusan penglibatan di sektor swasta hanya mencapai 25.8 peratus. Jelasnya penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan itu masih rendah. Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2020 menunjukkan jurang gender yang agak ketara antara lelaki dan wanita dalam penyertaan politik iaitu dengan skor 0.108 daripada 1.0 skor penuh.
Dalam hal ini, Dewan Muslimat tidak mendokong perjuangan emansipasi (pembebasan) wanita yang menuntut kesamarataan gender tanpa asas yang dibenarkan syarak.. Dewan Muslimat terpanggil untuk mengisi ruang 30 peratus samaada sebagai pembuat dasar atau calon wanita dalam pilihan raya umum akan datang bagi melaksanakan taklifan menjadi khalifah yang memakmurkan bumi seperti yang dinyatakan Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 30, maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.” Mereka berkata, “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merusak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?” Dia berfirman, “Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”
Peranan Muslimat PAS di dalam kerajaan
PAS ialah sebuah gerakan Islam yang memberikan penghormatan kepada kaum muslimat untuk turut sama terlibat bukan sahaja dalam dakwah dan tarbiah, malah daripada segi syariat Islam, Muslimat dibenarkan aktif di dalam bidang politik dan pemerintahan samaada di peringkat parlimen sebagai Ahli Parlimen, dewan undangan negeri (DUN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Mahupun memimpin pelbagai GLC kerajaan yang sesuai.
Justeru, peluang yang sudah diisi dan akan diisi menuntut kita para muslimat untuk menggembeling tenaga bagi memartabatkan Islam di mana jua kita berada bagi memastikan kesejahteraan Islam dinikmati kaum wanita dan seluruh masyarakat. Jadi, muslimat mestilah memandang urusan kepimpinan ini sebagai salah satu ruang untuk melaksanakan gerak kerja dakwah, islah dan ihsan (kebajikan). Inilah medan terbaik yang terbuka luas dalam menggalas tanggungjawab bersama sebagaimana peringatan dari Allah swt dalam firman-Nya surah At-Taubah ayat 71, maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman, laki-laki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat,serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Penglibatan muslimat dalam politik boleh memberi keuntungan kepada semua kaum wanita. Dalam negara demokrasi ini, kepimpinan muslimat juga memainkan peranan untuk mempertahankan Islam daripada gerakan wanita sekular dan liberal yang bertentangan dengan prinsip Islam dan menimbulkan kekeliruan hak asasi yang tidak berfaedah. Muslimat harus berdaya saing dengan memanfaatkan kepimpinan PAS dalam kerajaan. Penglibatan muslimat di dalam pertubuhan bukan kerajaan juga perlu diperluaskan lagi bagi memastikan agenda Islam dapat diketengahkan kepada kerajaan.
Model Gerakan Muslimat di peringkat antarabangsa
Manakala di peringkat antarabangsa pula, Muslimat telah turut serta dalam pelbagai misi kemanusiaan sama ada di rantau Asia Tenggara mahupun di benua lain. Dewan Muslimat terlibat dalam usaha-usaha memberikan bantuan secara fizikal mahupun material kepada saudara-saudara kita yang memerlukan di seluruh pelosok dunia seperti Palestin, Myanmar, Syria, Yaman dan Uighur dengan kerjasama badan pertubuhan Islam bukan kerajaan secara berterusan.
Kita perlu menginsafi penderitaan yang dihadap oleh umat Islam khususnya kaum muslimah di negara-negara yang terjebak dengan kancah peperangan saudara akibat menjadi proksi kuasa barat dan negara-negara yang dilanda musibah bencana alam. Hubungan kerjasama perlu dipertingkatkan lagi dengan NGOi yang terlibat langsung dengan isu-isu dunia Islam semasa.
Pelbagai isu hak wanita yang dibangkitkan oleh golongan emansipasi wanita diketengahkan kepada kaum wanita bertentangan dengan jalur pemikiran Islam yang sebenar. Dalam hal ini Dewan Muslimat memerlukan keterampilan kepimpinan muslimat di peringkat antarabangsa menerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia agar gerak kerja muslimat lebih terpandu dan mendapat bimbingan daripada pihak yang berautoriti.
Persiapan Muslimat Muda
Fasal 66 (3) di dalam perlembagaan PAS termaktub, “Muslimat-muslimat yang telah menjadi ahli PAS dengan sendirinya menjadi ahli bagi Dewan Muslimat PAS” tanpa dikategorikan berdasarkan umur. Gandingan tenaga muslimat senior dan muda merupakan suatu formula terbaik untuk membina kekuatan dan ketrampilan yang sesuai di semua peringkat Jemaah.
Muslimat muda merupakan aset yang sangat bernilai sebagai pelapis kepimpinan dan kelangsungan Dewan Muslimat. Dewan Muslimat mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan keanggotaan wanita muda terus dipertingkatkan di dalam Dewan Muslimat PAS di semua peringkat. Bermula dengan langkah-langkah perkaderan di bawah Lajnah Tarbiah Dewan Muslimat dan Lajnah Pemerkasaan Parti Dewan Muslimat, muslimat muda diberi ruang seluas-luasnya di dalam organisasi khusus orang muda iaitu Nusaibah, Amerah dan Briged Muslimat di samping mengisi setiap ruang yang ada dalam pelbagai entiti dalam organisasi Dewan Muslimat tanpa sebarang diskriminasi saling berganding bahu bersama menjayakan visi dan misi Dewan Muslimat.
Saya sebagai Ketua Dewan Muslimat ingin menegaskan agar status keahlian muslimat muda sebagai ahli dewan terus dikekalkan di dalam Dewan Muslimat PAS. Kita tidak mahu organisasi sedia ada dipecahkan tanpa kajian dan persediaan terperinci, bukan sahaja ia bakal memecah belahkan Jemaah, malah ia akan membahagi-bahagikan tenaga sedangkan golongan muda dan berpengalaman di dalam Dewan Muslimat memerlukan di antara satu sama lain.
Kesedian berhadapan dengan pengundi 18 tahun
Pada 16 Julai 2019 tarikh yang menjadi detik bersejarah dalam proses pendemokrasian negara apabila Parlimen Malaysia melalui Rang Undang- Undang – perkara 119 (Pindaan 2019) meluluskan cadangan menurunkan had umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun serta membolehkan mereka menjadi calon dalam pilihan raya. Di atas keputusan itu sekurang- kurangnya terdapat 5.8 juta pengundi-pengundi baru dari kalangan anak-anak muda akan layak turut mengundi menjelang PRU15 nanti. Ini adalah satu jumlah yang besar untuk disantuni bagi menyampaikan manafaat pendidikan politik.
Rentetan dari itu, ianya menjadi sesuatu tanggungjawab besar kerajaan dan parti-parti politik serta semua pemegang taruh untuk memberi pendidikan politik kepada mereka agar partipasi mereka melahirkan tindak balas seperti yang dicita-citakan secara berkesan dan dinamik.
Dalam usaha merealisasikan undi 18, cabaran utama yang perlu dihadapi adalah kesediaan belia dari sudut pengetahuan, minat, sikap, sumber maklumat dan kesedaran tentang politik melalui sosialisasi politik. Sosialisasi politik merujuk kepada proses penyampaian maklumat berkaitan system politik seterusnya membentuk persepsi dan reaksi terhadap politik yang berlaku (Rush and Althoff, 1971; Rush 1992). Oleh yang demikian, PAS sebagai sebuah parti politik di Malaysia perlu mengambil langkah yang proaktif bagi memastikan pengetahuan tentang politik dan pilihanraya dapat disampaikan dengan benar dan berinfomasi kepada golongan belia. Proses sosialisasi politik dalam kalangan golongan belia tidak dapat tidak melibatkan system pendidikan, peranan ibu bapa dan keluarga serta media massa.
a. Menggembleng tenaga para guru sebagai agen penerangan dan cula bagi pengundi 18 tahun
Sebagai badan yang bertanggungajawab dalam menguruskan pilihan raya di Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam cadangan untuk berbincang bersama Kementerian Pendidikan Malaysia dalam membina modul pendidikan mengundi (MalaysiaDateLine, 8 Ogos 2019) yang berkisar tentang proses pilihanraya dan pengundian. KPM melalui peranan guru bertanggungjawab menjadi agen penerangan di sekolah bagi memastikan para pelajar memahami konsep kenegaraan, kepentingan mengundi, dan memilih pemimpin. Dalam pada itu, guru-guru juga boleh melaksanakan culaan terhadap para pelajar di sekolah untuk melihat kecenderungan mereka dalam pilihan raya.
b. Melaksanakan kempen terhadap ibu bapa bagi memastikan anak- anak mengundi
Hakikatnya, anak-anak akan mempelajari perkara baru dalam kehidupan daripada ibu bapa yang merupakan individu awal dikenali dalam kehidupan. Dalam hal ini, peranan ibu bapa adalah sangat penting untuk memperkenalkan anak-anak kepada pengetahuan tentang hal ehwal negara. Kajian menunjukkan golongan belia yang terdedah dengan perbincangan politik di rumah bersama ibu bapa dan ahli keluarga mencetuskan kesedaran politik dan mempunyai pengetahuan yang luas tentang perkara tersebut (Thomas, 1998; Mo Kyung Hwan, 2000). Tidak dapat dinafikan ibu bapa berupaya membentuk orientasi politik sejak dari kanan-kanak (Abdullah, 2012). Bermula 1 Oktober 2021, sejumlah 5.8 juta pemilih berumur 18 tahun dan ke atas boleh melakukan semakan dan pengesahan diri sebagai pengundi secara automatik, dan proses Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) akan berlangsung sehingga 31 Oktober. Ibu bapa adalah ‘booster’ bagi memastikan anak-anak terlibat dalam system demokrasi negara untuk melaksanakan tanggungjawab memilih pemimpin melalui proses pilihanraya terutamanya bagi ‘first time voter’.
c. Memperkemas jentera mellineal bagi menyambut kehadiran pengundi 18 tahun
Mendepani anak muda masa kini menuntut strategi yang tersusun rapi. Jentera millennium di bawah Jentera Pilihanraya Parlimen perlu hadir ke lapangan anak muda dengan idea yang segar dan dekat dengan hati mereka. Penguasaan media social seperti facebook, instagram, twitter dan tiktok merupakan medium penting untuk mendekati anak muda. Hal ini kerana, maklumat yang disampaikan melalui media social lebih mudah tersebar dalam masyarakat selain golongan belia lebih terdedah dengan akses internet. Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (2021) menunjukkan penggunaan internet di kalangan masyarakat Malaysia berusia 15 tahun ke atas meningkat dengan ketara kepada 89.6 peratus pada 2020 berbanding 84.2 peratus pada 2019 dan aktiviti internet yang paling popular di Malaysia adalah menyertai rangkaian sosial. Justeru, ruangan media sosial perlulah dimanfaatkan sebaik mungkin dalam usaha menyebar luas maklumat tentang isu semasa dan kenegaraan tanpa mengenepikan usaha mendekati anak muda secara fizikal.
d. Memanfaatkan peranan influencer dalam kalangan muslimat muda
Pembentukan ikon atau ‘influencer’ didapati semakin berkembang dan penting dalam masyarakat. Kini individu terbabit menjadi sumber rujukan tentang sesuatu perkara oleh kebanyakkan anak muda berbanding ibu bapa atau autoriti lain. Oleh yang demikian, ‘influencer’ di kalangan anak muda adalah menjadi keperluan semasa dalam usaha menjuarai isu-isu semasa supaya segala persoalan yang dibangkit dapat dijawab dengan tepat dan berfakta. Muslimat muda perlu ke hadapan dalam mengetengahkan idea-idea kreatif yang sesuai dengan penerimaan anak muda secara umumnya, pada masa sama memberikan panduan agar mesej yang ingin disampaikan selari dengan nilai-nilai Islam.
Cabaran memenangi PRU15 dalam norma baharu
Saya percaya semua ahli muslimat sudah memposisikan diri dalam gerak kerja pilihanraya selaras dengan agenda J12k di peringkat masing-masing. Tiada lagi istilah terkejut dengan sebarang pengisytiharan pilihanraya umum. Gerak kerja pilihanraya juga mesti bergerak seiring dengan fasa yang telah ditetapkan. Jangkaan pembubaran Parlimen sebelum Julai 2022, bukanlah satu tempoh masa yang lama. Insha Allah terdekat kita akan berhadapan dengan PRN Melaka dan ada kemungkinan juga nantinya dengan PRN Sarawak.
Justeru, muslimat sekalian mestilah bergerak secara berfokus sama’an wa ta’atan serta beradaptasi ataupun menyesuaikan diri dengan norma baharu. PKP atau wabak Covid19 tidak boleh dijadikan alasan untuk muslimat menjadi beku dan kaku daripada sebarang kerja pilihanraya. Sebaliknya, para muslimat mestilah lebih kreatif dalam mendekati pengundi yang ada dalam kalangan mereka beremosi, tidak peduli politik atau mungkin bersikap menolak sebarang parti. Terus mara menyeru mereka untuk mengundi kita.
Para muslimat sekalian perlu menyedari bahawa untuk menghadapi PRU15, penguasaan media sosial oleh muslimat sangatlah penting kerana pada hari ini hampir 90 peratus dari pengundi Malaysia menjadikan media sosial sebagai rujukan. Kepimpinan muslimat di pelbagai peringkat mestilah memastikan prasarana operasi media dipersiapkan semaksima mungkin, semua muslimat perlulah memahirkan diri untuk menjadi ejen-ejen penerangan di pelbagai peringkat. Adalah sangat penting mulai sekarang kita mencungkil bakat-bakat baharu dari kalangan muslimat muda atau ahli keluarga muslimat untuk menyertai pasukan kempen secara dalam talian.
Muslimat PAS mesti bersedia dengan segala persiapan dan dalam masa yang sama setiap usaha yang dilakukan, mestilah sandarkan pergantungan yang tinggi kepada Allah, menambah ilmu seni pilihanraya juga seni menawan pengundi serta berinovasi merancang kaedah-kaedah berpilihanraya mengikut norma baharu tanpa memandang rendah kepada parti lawan. Dalam masa yang sama beriltizam penuh menghadapi pelbagai kemungkinan dan perubahan yang berlaku sama ada rakan taawun kita di peringkat MN mahupun PN kerana suasana politik itu sentiasa berubah dan tidak terduga. Dengan usaha dan cara yang telah kita atur dan laksanakan maka kita memohon pertolongan Allah dan menyerahkan hasilnya kepada Allahu Jalil sebagaimana firman Nya pada surah al Najm ayat 39-40, maksudnya: “Dan manusia memperolehi apa yang telah diusahakan. Dan sesungguhnya usahanya ituakan diperlihatkan(kepadanya). kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna”.
Muhasabah
Sejauh mana kefahaman muslimat dalam penguasaan diri secara menyeluruh sebagai ahli sebuah parti politik Islam dan gerakan Islam. PAS dan Dewan Muslimat telah menyediakan pelan tindakan strategik untuk menjadi rujukan setiap perancangan dan bertujuan untuk menyelaraskan semua gerakerja di semua peringkat. Penguasaan menyeluruh sebagai anggota PAS sebagai sebuah gerakan Islam memerlukan semua muslimat PAS mengikat diri dengan agenda pentarbiyahan bermula dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam usrah. Lajnah Tarbiah dan Perkaderan telah menyediakan satu modul J12K (jentera 12 ribu) bagi melahirkan petugas yang memiliki sifat AKIFI (Alim, Sufi dan Haraki). Sejauh mana tenaga muslimat memposisikan diri dalam agenda J12K ini? Tanpa kefahaman dan komitmen padu daripada para muslimat sekelian sudah pasti suara-suara yang memperkatakan tentang kepentingan tarbiyah sebagai ruh kepada jamaah hanya tinggal bualan kosong sahaja.
Pada hari ini, Dewan Muslimat dengan kerjasama padu daripada pelbagai entiti dalam organisasinya telah banyak membangunkan produk-produk dan modul-modul berasaskan kepakaran dan kajian mendalam oleh kepimpinanan muslimat yang diberikan amanah. Semua produk dan modul DMP iaitu Modul TASTI, Gelombang AKIFI, APSA, Ilham AKIFI, Skuad Prihatin, Briged Muslimat, Musmedik, Muslet dan produk atau modul di peringkat Dewan Muslimat Negeri seharusnya sampai ke akar umbi. Saya tidka berhajat mengulangi lagi penjelasan berkaitan produk-produk tersebut kerana meyakini para muslimat semua sudah arif berkaitan dengannya dan sudah menyebut dalam ucaptama beberapa siri muktamar sebelum ini. Setiap anggota muslimat perlu memastikan penglibatan mereka di dalam menjayakannya. Saya berkejayakinan, sekiranya produk yang telah dibangunkan ini benar-benar dimanfaatkan dengan sebaiknya mampu memberikan satu anjakan paradigma dalam budaya berfikir dan lonjagan yang lebih jauh dalam budaya bekerja sebagai sebuah organisasi yang kukuh dan tersusun rapi sesuai dengan perintah Allah di dalam surah as-Saff. Kalau bukan kita yang menghargai usaha sahabat-sahabat kita yang membangunkan produk dan modul ini, siapakah lagi yang mahu memanfaatkannya?
Keberadaan muslimat dalam agenda perpaduan dan permuafakan ummah turut meransang usaha-usaha kerjasama yang utuh antara tiga parti teras orang Melayu di negara ini iaitu PAS, Umno dan Bersatu. Adakah para muslimat menyedari peranan yang begitu penting demi memperkukuhkan benteng pertahanan ini? Sejauh mana setiap daripada kita memastikan keterlibatan diri dalam jentera parti dan mujahadah menyahut seruan kesatuan dengan memposisikan diri dalam agenda di peringkat masing-masing?
Pesanan dan arahan
Berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran. Perjuangan ini adalah satu perjalanan yang yang panjang. Mengharaplah kepada ALLAH bukan kepada manusia agar jiwamu terus segar dengan harapan yang pasti sehingga ke denyut nadi terakhir kita di atas dunia yang fana ini. Sesuatu permusafiran yang jauh dan panjang, pasti memerlukan bekalan dan persiapan untuk memastikan kita selamat, bersedia dan lancar sepanjang perjalanan.
Firman Allah SWT pada surah at Taubah ayat 42, maksudnya: “Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).”
Allah SWT menegaskan bahawa tugas dakwah ini akan dipenuhi kesusahan dan kepayahan. Justeru kita perlu mempersiapkan bekalan yang mencukupi agar tidak terjerumus dalam lembah kelemahan, futur, tidak bersemangat dan tewas di tengah-tengah perjalanan ini.
i. Bekalan pertama dan utama
Bekalan Ilmu dan Iman Saidina Umar RA berkata yang bermaksud: Dalamilah ilmu (bertafaqquh) sebelum kamu memimpin. Adalah satu kezaliman pada diri kita yang bercita-cita tinggi untuk memimpin dan melimpahkan kesejahteraan Islam kepada umat tanpa kita memberikan keutamaan kepada penguasaan ilmu.
ii. Bekalan kedua: kekuatan iman dan keteguhan jiwa
Penanda aras yang paling utama untuk menjadi ummah yang berkualiti ialah keteguhan jiwa dengan menjadikan Rasulullah SAW sebagai Uswah Hasanah. Sirah baginda yang menjadi rujukan dalam membangunkan manhaj Rabbani hendaklah diperhalusi.
iii. Bekalan ketiga: amal soleh
Penghayatan amal soleh hendaklah berpandukan sirah nabawiyyah yang merangkumi amal fardi, amal jama’ie, amal ijtimaie dan amal siasi secara kolektif. Keteguhan jiwa dan kesucian peribadi dengan kerapnya melakukan taubat pastinya mampu membawa diri kita sebagai pendokong parti yang bertaqwa, sentiasa berhati-hati daripada terjebak dengan dosa yang tersembunyi yang merosakkan amal.
iv. Bekalan keempat: penguasaan pelbagai kemahiran
Kita sering melontarkan kata-kata yang diucapkan oleh Saidina Ali RA. iaitu بالنظام الباطل یغلبه نظام بال الحق yang bermaksud: Kebenaran tanpa sistem pasti akan dikalahkan oleh kebatilan yang bersistem. Akan tetapi, hanya bertawakkal tanpa berusaha tidak akan dapat menarik bantuan dari Allah. Dewan Muslimat menenekankan supaya Muslimat PAS menekankan aspek keberkesanan mengurus organisasi, diri, keluarga, kewangan, dan teknologi.
Penutup
Rakaman penghargaan dan terima kasih kepada semua saff kepimpinan setiap peringkat, JK DMPM, DMPN, DMPK dan cawangan yang telah menggembeling tenaga bersatu hati dan pemikiran dengan dokongan ahli-ahli muslimat yang berdedikasi menjayakan visi dan misi Dewan Muslimat berpandukan plan strategi yang disusun sehingga Dewan Muslimat mampu mencapai tahap pada hari ini. Juga kepada semua anggota panitia muktamar Dewan Muslimat kali ke 61 ini. Yakinilah setiap kerja buat kita semua sentiasa di bawah pemerhatian dan penialaian Allah swt dan dirasai keberkatannya sepanjang hayat kita di dunia ini serta akan dinikmati hasilnya di hari kemudian kelak.
Saya dan seluruh saff kepimpinan sesi 2019-2021 merafa’ sembah takzim memohon jutaan kemaafan di atas sebarang kelemahan dan kekhilafan sepanjang menerajui kepimpinan DMPM. Tidak ada yang sempurna dari setiap manusia tetapi kekurangan itu mampu disempurnakan dengan ruh wehdah dan mahabbah sehingga sampai saat kita bertemu dengan Allah Jalla Jalaluhu. – HARAKAHDAILY 30/10/2021
Teks ucaptama Ketua DMPM, Senator Nuridah Mohd Salleh pada Muktamar Dewan Muslimat Kali Ke 61, 30 Oktober 2021.




















