Dasar arak: Ke mana hilangnya suara pemimpin PAN?

PADA 19 Oktober lalu, Naib Presiden PAN merangkap mantan Menteri Agama, Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa, telah menulis mengenai keperluan mewujudkan dasar arak yang antara lainnya melibatkan:

1. Melarang umat Islam daripada terlibat dalam semua aktiviti pemprosesan, jual beli, pengangkutan, hidangan dan yang berkaitan,
2. Melarang sama sekali sebarang promosi arak dan kaitannya bagi menghormati Islam sebagai Agama Persekutuan, dan
3.  Memelihara sensitiviti umat Islam dalam semua aktiviti arak di kalangan bukan-Islam termasuk penganjuran majlis, pemilihan jenama dan simbol yang boleh menimbulkan kemarahan kepada umat Islam

Advertisement

(Tulisan Dato’ Dr Mujahid boleh dibaca di sini: https://www.facebook.com/DrMujahidYusofRawa/posts/412671730213438)

Walaupun timbul persoalan mengapa Dato’ Dr Mujahid tidak cuba mengusahakan kewujudan dasar arak ini sewaktu beliau berada di dalam Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan, apa yang beliau utarakan ini sebenarnya senada dengan pandangan majoriti umat Islam, malah selari dengan ajaran Islam mengenai arak.

Ini kerana Rasulullah S.A.W sendiri pernah bersabda, mafhumnya: “Allah melaknat arak, orang yang meminumnya, orang yang menuangkannya, penjualnya, pembelinya, yang memerahnya, yang mengambil hasilnya, penghantarnya dan orang yang meminta dihantarkan.”

Malangnya, saranan Dato’ Dr Mujahid ini mendapat kritikan hebat sesetengah ahli masyarakat, khususnya daripada pihak-pihak tertentu yang bersekutu dengan beliau.

Pemimpin DAP, Ronnie Liu Tian Khiew, dengan cepat membidas Dato’ Dr Mujahid pada 22 Oktober dengan menulis:“Arak adalah haram untuk orang-orang Islam. Tiada persoalan mengenainya. Tetapi ia tidak bermakna orang-orang Islam tidak boleh melihat, mendengar, menyentug atau menghantar arak. Ia juga tidak bermakna orang-orang Islam tidak boleh bekerja di syarikat atau kilang yang menjual atau menghasilkan arak. Tiap orang ada hak masing-masing.” 

(“Liquors are haram for Muslims. No question on that. But it does not mean Muslims cannot even see, hear, touch or transport liquors. It also does not mean that Muslims cannot even work in companies or factories selling or producing liquors. To each his own.”)  

(Tulisan Ronnie Liu boleh dibaca di sini: https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=5164793773537182&id=100000198327350)

Pada 25 Oktober, Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Hotel, Bar Dan Restoran Semenanjung Malaysia, Rosli Affandi, menolak saranan Dato’ Dr Mujahid dengan berkata pengenalan ‘dasar arak’ akan menjejaskan kehidupan orang-orang Islam yang bekerja di tempat-tempat yang menyediakan arak dan akan menjejaskan perniagaan arak serta akan menyebabkan kebanjiran pekerja asing di tempat-tempat tersebut.

Turut menentang keras saranan Dato’ Dr Mujahid ini adalah Pengarah Eksekutif Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Shaun Cheah, yang dilaporkan berkata pengenalan ‘dasar arak’ akan menjejaskan kemasukan pelabur asing, dan akan menjejaskan banyak jenis perniagaan kerana ia akan menyebabkan orang-orang Islam tidak lagi boleh menghantar arak sedangkan majoriti penghantar arak adalah orang-orang Islam.

(Komentar Rosli dan Cheah boleh dibaca di sini: https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2021/10/25/union-rejects-amanah-call-for-restrictions-on-muslims-in-alcohol-sale/)

Hari ini, 27 Oktober, pula Dato’ Dr Mujahid dibidas oleh Dr Chandra Muzaffar yang dilaporkan: berkata ‘sebarang dasar yang dicadangkan untuk menyekat penglibatan orang Islam dalam pembuatan, pengangkutan, penjualan atau penyajian arak perlu mengambil kira pandangan pekerja-pekerja terbabit’ kerana ‘ini adalah mata pencarian mereka dan mereka berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memutuskan sama ada patut berada dalam perniagaan ini atau tidak’.

Dr Chandra juga turut dilaporkan menasihatkan Dato’ Dr Mujahid supaya memberi tumpuan kepada isu-isu lebih besar yang memberi kesan terhadap masyarakat termasuk masalah dadah yang telah wujud berdekad-dekad, rasuah yang berleluasa, jurang kekayaan yang semakin melebar dan polarisasi kaum dan agama yang semakin meningkat, bukannya ‘dasar arak’.

(Komentar Dr Chandra boleh dibaca di sini: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/10/27/fokus-pada-isu-rasuah-dadah-bukan-dasar-arak-mujahid-diberitahu/)

Soalnya ialah, berhadapan dengan pelbagai kritikan ini, ke manakah menghilangnya suara Dato’ Dr Mujahid dan para pemimpin PAN yang lain?

Mengapakah mereka sepertinya kelu, layu dan tidak berani untuk mempertahankan ‘dasar arak’ yang dikemukakan oleh pemimpin PAN sendiri?

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF – HARAKAHDAILY 27/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/kamarul.yusoff.7/posts/4807695259274494

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.