Ganabatirau tuduh pegawai JPS makan gaji haram?

Tindakan yang ibarat mencurah garam di luka

- Advertisement -

SETELAH didesak oleh Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang mempunyai lebih sejuta ahli di seluruh pelosok negara, EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau, akhirnya dilaporkan oleh beberapa portal sebagai memohon maaf.

Begitupun, setelah meneliti rakaman permohonan maaf beliau, ramai yang berpendapat bahawa permohonan maaf V Ganabatirau ini adalah tidak asli (not genuine), tidak spesifik (not specific), tidak mencukupi (not enough) dan seolah-olah hanya main-main sahaja.

- Advertisement -

Telitikan kata-kata V Ganabatirau ini: “Kalau you semua nak saya minta maaf, ya, saya minta maaf, saya tak ada rasa malu dengan saya apa-apa hal, tapi saya punya suara apakah saya benar atau tidak tolong you nilaikan, adakah saya salah atau tidak tolong anda nilaikan.”

Tidakkah kata-kata V Ganabatirau ini menunjukkan bahawa:

1. Permohonan maaf ini bukan dibuat atas kesedaran beliau sendiri tetapi kerana ada pihak yang mahu beliau memohon maaf.
2. Tidak dinyatakan dengan jelas permohonan maaf yang dibuat oleh beliau ini ditujukan kepada siapa dan atas sebab apa.
3. Permohonan maaf ini tidak disertakan pengakuan salah, sebaliknya beliau seolah-olah berkeras bahawa beliau tidak salah.

Seperti disebut oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, yang dilaporkan sebagai berkata beliau akan memberi nasihat kepada V Ganabatirau (sebenarnya memberi nasihat sahaja adalah belum memadai), “isu besarnya ia dirakam di media sosial”.

Ya, isu besarnya di sini ialah V Ganabatirau bukan sekadar memaki secara terbuka penjawat awam malah terlebih aib kepada penjawat awam itu adalah bila rakaman beliau memaki penjawat awam itu dihebahkan ke seluruh dunia melalui laman Facebook beliau.

Tidak patut beliau menyalahkan ‘profesor yang terlebih belajar daripada saya, letak (rakaman) dalam (Facebook), sebab dia ada sokongan ekstremis yang banyak, so mereka boleh kutuk saya dengan macam-macam kata-kata’ kerana pihak beliau sendiri yang memuatnaiknya.

Paling tidak boleh diterima bila permohonan maaf yang dibuat oleh beliau ini disertakan dengan ingatan berupa sindiran berbunyi: “Sama-sama kita bekerja dan membawa balik gaji dengan cara halal. Tuan, gaji yang kita terima biar halal. Wang ringgit yang kita bagi kepada anak bini kita biar halal. Kalau kita tak ikut kerja, tak buat kerja dengan baik, tak tahulah, tuan. Setahu saya kawan baik saya, tuan haji, ajar saya itu tak halal. Itu tuan haji bagi tahu saya.”

Sebenarnya kita sudah amat mangli dengan terlalu banyak insiden dalam mana ahli-ahli politik yang dikecam hebat oleh masyarakat kerana melakukan kesalahan-kesalahan tertentu yang terlepas begitu sahaja selepas mereka membuat permohonan maaf separuh masak.

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita menunjukkan ketegasan dengan tetap mengambil tindakan ke atas ahli-ahli politik begini bagi memberikan pengajaran kepada mereka supaya berfikir banyak kali sebelum melakukan perbuatan yang tidak patut di masa depan.

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF – HARAKAHDAILY 26/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/kamarul.yusoff.7/videos/410251667176122

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -