Motivasi terunggul adalah mengingati kuasa Allah

SAHABAT-sahabat seperjuanganku, motivasi terunggul seorang manusia ialah mengingati kuasa Allah. Iman adalah pendorong utama dalam mencapai kejayaan dunia menuju akhirat. Bahkan dengan rahmat Allah, iman dan amallah penentu utama kebahagiaan dan prasyarat ke syurga.

Advertisement

Sheikh Dr. Yusof Al-Qardhawi di dalam bukunya Al-Iman Wal-Hayat (Iman dan Kehidupan) menukilkan:

“Sesungguhnya masalah ‘iman’ itu, bukanlah sesuatu yang sifatnya tambahan dalam wujud ini, yang boleh kita abaikan atau kita anggap ringan, atau kita tinggalkan untuk dilupakan. Ia merupakan ‘masalah penentuan nasib hidup’ yang paling penting bagi manusia. Ia boleh membawa manusia kepada kebahagiaan yang abadi atau kepada kecelakaan yang abadi, sebagaimana iapun boleh membawa manusia masuk ke dalam syurga atau terjerumus ke dalam neraka.”

Penunjuk prestasi sebenar manusia ialah di akhirat nanti. Orang yang berjaya ialah mereka yang dimasukkan ke dalam syurga dan terlepas dari api neraka. Orang yang gagal pula ialah mereka yang dicampakkan ke dalam neraka Jahannam dan dinafikan syurga.

Iman sumber kebahagiaan. Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menyebut;

“Hanyalah keimanan yang dapat memancarkan ke dalam hati manusia sumber-sumber kebahagiaan, yang dirindukan oleh setiap orang. Kebahagiaan baru menjadi suatu kenyataan yang dapat dirasakan, hanyalah jika ada ketenangan, ketenteraman, keamanan batin, pengharapan, kepuasan, cita-cita dan kasih sayang. Untuk semua itu, iman yang menjadi sumbernya. Tanpa ada keimanan, hal-hal di atas hanyalah dapat menjadi sebutan dan harapan kosong belaka. Dengan iman, tercipta kebahagiaan zahir dan batin.”

Maka oleh itu, adalah suatu keperluan yang mendesak bagi setiap insan yang mempunyai akal fikiran untuk memikirkan lantas bermujahadah agar dirinya mampu memperolehi ketenteraman jiwa dengan iman dan hakikat amal yang sebenarnya. Justeru, marilah kita bina kembali tugu sasa agama dengan menanamkan takwa dan membangunkan kesedaran di dalam diri.

DR. AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat,
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS – HARAKAHDAILY 22/10/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/370620297828204/posts/388075892749311