Pemuda PAS desak henti operasi arak Timah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia melahirkan kekesalan dan kekecewaan atas kewujudan arak buatan Malaysia yang baru sahaja memenangi anugerah antarabangsa baru-baru ini.

Ketua Penerangannya, Nazir Helmi berkata itu bukanlah suatu kebanggaan tetapi sebaliknya suatu malapetaka dan hinaan buat negara.

Menurutnya, berdasarkan carian, arak jenama Timah bukanlah baru sahaja wujud seperti yang digembar-gemburkan cybertrooper Pembangkang tetapi ia telah wujud sejak bertahun lamanya.

- Advertisement -

“Pemuda PAS melahirkan persoalan bagaimana pengusaha arak ini beroperasi sejak sekian lama, tetapi digembar-gemburkan seolah ianya baru wujud setahun dua ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

 Walaupun begitu, katanya Pemuda PAS tetap konsisten menentang kewujudan perusahaan arak itu.

Beliau berkata,  Pemuda PAS memahami bahawa hanya agama Islam yang melarang penganutnya meminum arak.

Namun, ujar beliau arak bukan sahaja merosakkan umat Islam sahaja, malah kesannya turut dirasai semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Berapa ramai rakyat Malaysia yang telah mati akibat kesan arak, sama ada asbab kemalangan jalanraya mahupun ketagihan arak?

“Berapa banyak institusi kekeluargaan yang runtuh akibat arak?” ujarnya.

Kata beliau, kesannya merosakkan seluruh institusi masyarakat dan negara.

Sehubungan itu, Pemuda PAS mendesak supaya kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, mengambil tindakan menutup perusahaan arak itu daripada terus beroperasi.

Tambahnya, kewujudan kilang arak itu, yang turut giat mengeksport produk mereka tidak mendatangkan sebarang manfaat, malah mendatangkan mudarat yang besar.

Menurutnya lagi, masih banyak lagi sumber pendapatan yang boleh diperolehi oleh negara selain perusahaan najis arak.

“Pemuda PAS juga menasihatkan pihak Pembangkang yang galak bermain isu ini supaya bercakap berdasarkan fakta dan tidak menjadikannya modal sentimen politik murahan.

“Hakikatnya kilang ini turut beroperasi semasa zaman mereka menjadi kerajaan dan mereka sendiri berdiam walaupun mengetahuinya,” ujarnya.

Sebaiknya, kata beliau seluruh umat Islam tanpa mengira agama dan latar belakang politik bersatu padu menggesa supaya perusahaan arak itu dihentikan segera. – HARAKAHDAILY 16/10/2021

- Advertisement -