Lebih 80,000 pelancong lawat Langkawi

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Seramai 85,921 pelancong melawat Pulau Langkawi sejak Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik dilancarkan pada 9 September sehingga Selasa lalu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata setakat 12 Oktober ini, lebih 58,000 pengunjung masuk melalui pintu masuk udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, manakala lebih 27,000 pengunjung masuk melalui pintu masuk laut.

- Advertisement -

Katanya, kehadiran pelancong ke Langkawi memberi kesan domino kepada industri penerbangan, feri dan juga premis penginapan pelancong di pulau itu.

“Kadar purata penginapan di premis penginapan pelancong ahli Persatuan Hotel Malaysia (MAH) di Langkawi sepanjang tujuh hari pertama bulan ini adalah sebanyak 45 peratus bagi premis penginapan bertaraf empat hingga lima bintang dan 21 peratus bagi premis penginapan bertaraf tiga bintang ke bawah.

“Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) pula melaporkan kadar purata penginapan bagi premis penginapan pelancong ahli-ahlinya adalah 15 peratus,” katanya menjawab soalan Senator Ahmad Yahaya di Dewan Negara, hari ini.

Nancy berkata, sektor rantaian industri pelancongan seperti sektor makanan dan minuman dan peruncitan juga menikmati kesan gandaan kesan daripada aktiviti pelancongan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Senator Ahmad berhubung pembukaan Pulau Langkawi kepada negara luar, katanya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah mengemukakan cadangan tersebut kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya telah mencadangkan supaya Langkawi dibuka kepada beberapa negara sahaja dahulu. Untuk projek rintis Langkawi, Insya Allah kita menunggu pengumuman Perdana Menteri terlebih dahulu untuk kita membuka ruang ini kepada pihak luar.

“Kita mengharapkan bahawa lebih ramai lagi pelancong akan datang disebabkan aktiviti pelancongan adalah antara cara mengembangkan ekonomi kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/10/2021

- Advertisement -