Perbezaan politik faktor bekalan air Kelantan ketinggalan

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

KUALA LUMPUR: Perbezaan ideologi politik antara kerajaan Kelantan dan Pusat sebelum ini menjadi antara faktor prasarana bekalan air di negeri itu agak ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.

Senator Mohd Apandi Mohamad, ketika mendedahkan perkara itu di Dewan Negara, hari ini, berkata Kelantan diterajui parti yang berbeza daripada Kerajaan Pusat sejak 1990.

- Advertisement -

Katanya, perbezaan politik menyebabkan usaha kerajaan negeri untuk membangunkan prasarana air kurang mendapat kerjasama Kerajaan Pusat ketika itu.

“Hanya pada 2001, kerajaan Kelantan diberi pinjaman mudah sebanyak RM600 juga bagi meningkatkan projek bekalan air.

“Cuba bayangkan dalam tempoh kira-kira 11 tahun, Kelantan terpinggir daripada mendapatkan bantuan kewangan bagi membangunkan kemudahan bekalan air untuk keperluan rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya bantuan dalam bentuk pinjaman mudah itu bukan diberi sekali gus, sebaliknya dalam tempoh lima tahun seolah-olah seperti Rancangan Malaysia.

Menurutnya, berdasarkan perkiraan kerajaan negeri dan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), sepatutnya sebanyak RM120 juta diberi setiap tahun daripada jumlah pinjaman tersebut.

Namun, kata beliau ia tidak berlaku seperti dirancang, di mana ada ketikanya Putrajaya mengagihkan hanya RM60 juta setahun sehingga menyukarkan pelaksanaan projek yang sudah dirancang.

“Apa yang berlaku itu tidak hairanlah Kelantan agak ketinggalan berbanding negeri-negeri lain bagi meningkatkan projek bekalan air.

“Sebaliknya, negeri-negeri lain diberi bantuan dalam bentuk geran, namun Kelantan diberi pinjaman dalam bentuk faedah rendah yang perlu dibayar kembali,” katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12.

Perbahasan pemimpin dari Jeli itu turut menarik perhatian Senator Muhammad Zahid Md Arip yang mencelah bagi mengetahui perkembangan projek bekalan air di Kelantan sekarang.

Mohd Apandi berkata, beliau membangkitkan perkara tersebut sebagai ingatan kepada semua, supaya ia tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“Sekarang masalah seperti itu tidak berlaku lagi memandangkan kerajaan negeri dan Pusat selari ideologi politik.

“Malah kita mahu politik matang diamalkan tanpa mengira negeri diterajui pembangkang atau tidak,” ujarnya.

Menurutnya juga ketika pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Jeli pada 1999, beliau pernah melawat beberapa negara asing.

Katanya, berdasar perjumpaan dengan Ahli Parlimen di negara-negara terbabit, kerajaan memberi peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Saya sudah lama mengimpikan untuk melihat lahirnya budaya politik matang di negara kita. Alhamdulillah, sekarang ia menjadi kenyataan di bawah Perdana Menteri Ke-9,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 13/10/21

- Advertisement -