Program keagamaan dan kerohanian diutamakan di institusi kebajikan

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memastikan setiap wanita yang ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita (RPW) dan tempat selamat lain mengikuti program keagamaan dan kerohanian.

Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata kementerian melalui agensi di bawahnya, menyediakan pelbagai perkhidmatan kebajikan demi kesejahteraan kumpulan sasar yang berlindung di sesebuah pusat atau institusi kebajikan.

- Advertisement -

Malah, katanya dua masjid secara projek rintis pada tahun ini, disenaraikan sebagai antara tempat perlindungan mangsa keganasan rumah tangga.

“Program keagamaan dan kerohanian dirancang dan dilaksanakan mengikut agama dan kepercayaan penghuni pusat atau institusi berkenaan,” katanya menjawab soalan lisan Senator Nuridah Mohd Salleh di Dewan Negara, hari ini.

Nuridah bertanyakan sejauh mana nilai kerohanian dan keagamaan diterapkan di pusat perlindungan khusus untuk ibu tunggal, mangsa gangguan seksual serta tempat perlindungan warga emas setiap negeri.

Siti Zailah berkata, bagi wanita Islam yang menjadi mangsa pemerdagangan dan ditempatkan di RPW serta keganasan rumah tangga di tempat selamat yang diluluskan, kementerian menyediakan pelbagai program kerohanian seperti bacaan Yasin dan Tadarus al-Quran.

Menurutnya, warga emas di Rumah Seri Kenangan (RSK) pula diberi peluang yang luas untuk menimba ilmu pengetahuan agama dan melakukan amal ibadah.

Katanya, majoriti penghuni di RSK beragama Islam dan sentiasa didorong untuk beribadah, terutama dalam solat fardhu secara berjemaah.

“Setiap RSK disediakan surau dengan kapasiti yang luas untuk menjalankan aktiviti kerohanian. Penempatan pegawai agama di setiap institusi juga memainkan peranan penting untuk memberi bimbingan kepada warga emas untuk melaksanakan ibadah harian.

“Pelbagai aktiviti kerohanian disediakan di RSK. Selain solat fardhu berjemaah, kelas bimbingan fardhu ain, ceramah agama, majlis bacaan surah Yasin & tahlil, kelas tahsin al-Quran, kuliah agama atau tazkirah, qiamullail, solat hajat dan solat dhuha serta program sempena sambutan hari kebesaran Islam dianjurkan tanpa gagal,” katanya.

Siti Zailah berkata, penghuni RSK turut melakukan ibadah berpuasa dan menunaikan zakat fitrah setiap tahun.

Tahun ini, katanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menganjurkan pelbagai program kerohanian secara dalam talian seperti program ihya’ Ramadan, kursus tafaqquh fiddin, kalam jaddi dan madrasah institusi.

Sementara itu bagi penghuni bukan Islam, katanya turut disediakan ruang dan kemudahan beribadat mengikut kepercayaan agama mereka.

Katanya, pengurusan RSK juga menyediakan pengangkutan kepada penghuni ke rumah ibadat seperti kuil, tokong dan gereja mengikut hari perayaan atau sambutan keagamaan.

“Sukarelawan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau mana mana pertubuhan juga diuruskan bagi tujuan menemani penghuni sepanjang berada di rumah ibadat masing-masing.

“Penghuni bukan Islam juga dikunjungi oleh wakil agama mereka untuk menjalankan sesi keagamaan secara mingguan di ruangan khas yang disediakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/10/21

- Advertisement -