KKM beri peluang pegawai perubatan ikuti pengajian kepakaran

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato' Dr Noor Azmi Ghazali
- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menawarkan dua laluan program kepakaran kepada pegawai perubatan berstatus tetap dan kontrak, iaitu Program Sarjana Kepakaran Perubatan dengan kerjasama Universiti Awam dan Parallel Pathway.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali, berkata pegawai yang layak akan diberi Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP) dan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

- Advertisement -

Katanya, seramai 7,357 pegawai berstatus tetap mengikuti Program Kepakaran Sarjana Perubatan antara tahun 2015 hingga 2021.

“Pada tahun 2015, pengambilan adalah seramai 926 orang dan terus meningkat setiap tahun dengan pengambilan pada 2020 seramai 1,214 orang. Tahun ini, pengambilan adalah seramai 1,120 orang,” katanya menjawab soalan lisan Senator Mohd Apandi Mohamad di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata, 23 bidang kepakaran ditawarkan seperti Anestesiologi, iaitu 120 orang setahun dan pembedahan plastik, antara lima hingga sembilan orang setahun.

Bagi program Parallel Pathway pula, katanya seramai 3,615 orang pegawai perubatan telah berdaftar untuk mengikuti program kepakaran ini.

“Pada tahun 2016, pengambilan adalah seramai 239 orang dan meningkat kepada 1,190 orang pada tahun 2018. Pada tahun 2021, pengambilan adalah seramai 692 orang yang melibatkan 14 bidang kepakaran.

“Pengajian kepakaran perubatan dalaman melibatkan antara 90 hingga 513 orang setahun, manakala bidang kepakaran pembedahan plastik adalah dua hingga empat orang setahun,” katanya.

Beliau berkata, pegawai perubatan berstatus kontrak yang melanjutkan kepakaran di bawah Program Parallel Pathway pula adalah seramai 504 orang. – HARAKAHDAILY 11/10/21

- Advertisement -