PAS perjuangkan Islam untuk masyarakat, negara

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: PAS adalah perjuangan gerakan Islam yang bergerak dalam mengajak masyarakat kembali kepada Islam dan berjuang bagi menegakkan negara yang ditadbir secara Islam.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, perjuangan tersebut telah dimulakan oleh pihak terdahulu dengan melalui pelbagai kesukaran dan kepayahan sehingga dinikmati kemenangannya oleh pihak terkemudian.

- Advertisement -

Justeru, kata beliau, dalam era kemenangan ini, adalah menjadi kewajipan buat pendukung PAS untuk mengisi kemenangan dengan ilmu pengetahuan, akhlak perjuangan serta jiwa dan semangat perjuangan yang penuh dengan kesabaran dan pengorbanan.

“Kesabaran menjadi senjata untuk berhadapan dengan kesukaran mengisi kemenangan dan cabaran mendidik kemahuan, serta berhadapan dengan nikmat kebendaan yang mungkin terbentang,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurutnya lagi, pengorbanan masa, tenaga dan harta sentiasa dituntut sebagai agenda perjuangan berdasarkan kemampuan dan kedudukan masing-masing dalam perjuangan kerana matlamat akhirnya ialah mencari keredhaan Allah.

“Sesiapa yang melencong dari garis perjuangan ini akan terpinggir. Sesiapa yang istiqamah pasti berjaya sampai ke akhirnya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/10/2021

- Advertisement -