Industri pembinaan rugi RM42 bilion sepanjang PKP

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Industri pembinaan negara mengalami kerugian kira-kira RM42 bilion sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 mulai 18 Mac 2020 sehingga kini.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Seri Fadillah Yusof, berkata daripada jumlah itu, RM18 bilion adalah anggaran kerugian dalam tempoh PKP 3.0 yang bermula pada 1 Jun 2021 sehingga September 2021.

- Advertisement -

Katanya, baki RM24 bilion pula merupakan kerugian ketika pelaksanaan PKP 1.0 pada 2020 yang menjejaskan pelaksanaan kerja pembinaan antara Mac hingga Julai 2020.

“Pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP juga menyebabkan sektor pembinaan mencatatkan penurunan kadar pertumbuhan sebanyak 19.4 peratus pada tahun lalu.

“Bagi tempoh suku pertama tahun ini, sektor pembinaan terus menurun pada kadar 10.4 peratus, tetapi meningkat pada kadar 40.3 peratus pada suku kedua tahun ini,” katanya menjawab soalan Dato’ Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut).

Fadillah berkata, sektor pembinaan adalah antara industri yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 dan kementerian bersama agensi di bawahnya mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pemain industri bagi menghadapi cabaran yang timbul serta mencari penyelesaian terhadap cabaran tersebut.

Katanya, antara cabaran sektor pembinaan adalah kenaikan kos bahan binaan, kenaikan kos upah pekerja, terutama pekerja am akibat kekurangan tenaga kerja akibat keperluan mendapat vaksinasi lengkap dan pekerja binaan warga asing yang pulang ke negara asal tidak dapat kembali ke sini.

“Cabaran lain termasuk kos Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang terpaksa ditanggung oleh kontraktor serta syarat ketat yang dikenakan bagi mendapatkan kelulusan.

“Majikan juga menanggung pertambahan kos untuk menyediakan penginapan pekerja binaan, kos pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor dan keperluan mewujudkan universal tempoh lanjutan masa (EOT) ke dalam Akta 829,” katanya.

Katanya, antara cadangan penyelesaian terhadap cabaran berkenaan ialah mewujudkan semula peruntukan pengiraan klausa perubahan harga kepada Kementerian Kewangan.

Fadillah berkata, kementerian juga menjalankan inisiatif Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) bagi membantu pekerja sektor pembinaan mendapatkan suntikan vaksin dan seterusnya membolehkan kerja di tapak pembinaan dapat diteruskan tanpa kekurangan pekerja.

“Kerajaan juga bersetuju melonggarkan syarat rekalibrasi khusus untuk pekerja binaan, menggalakkan penyediaan atau Kawasan Penginapan Berpusat oleh penyedia perkhidmatan, manakala bagi projek kerajaan, kos pematuhan SOP bagi tempoh tertentu telah disenaraikan dalam kerja awalan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/9/21

- Advertisement -