Beza tindakan bila fikir akhirat

- Advertisement -

PIMPINAN PAS, semenjak dahulu, terdiri daripada majoriti golongan agamawan. Mereka selain daripada berpolitik, tugas yang lebih utama bagi mereka ialah berdakwah. Dakwah mereka dalam bentuk kelas pengajian dan juga bermacam-macam lagi. Tujuannya ialah bagi membentuk peribadi Muslim yang baik, kalau pun tidak menjadi yang terbaik.

Dalam mana-mana keadaan, pasukan yang baik dari segi agamanya akan sentiasa disukai orang, berbanding dengan pasukan yang tidak berakhlakkan agama. Sehingga tidak sedikit yang menyamar untuk menunjukkan kebaikan mereka kepada orang ramai. Dan, ramai lah yang tertipu dengan lakonan agama mereka.

Pimpinan PAS ini, bukan sahaja disukai oleh ahli sendiri, malah juga pihak lawan. Ketika mereka tidak mengenali ulamak ini adalah pimpinan PAS, orang ramai suka mendengar nasihat-nasihat agama daripada mereka ini. Hanya sanya, apabila sahaja mengetahui ulamak ini ulamak PAS, baharu lah mereka berubah.

- Advertisement -

Contohnya almarhum Dr Haron Din dan Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man yang dahulunya disukai ramai jika bersiaran dalam program Ehwal Islam sebelum dikenali sebagai ulamak PAS. Walaupun begitu, setelah mereka diketahui sebagai pimpinan PAS, tidak kurang juga yang telah berubah hati mengikuti mereka, atau paling kurang menghormati mereka.

Jelas kebaikan ajaran ulamak PAS ini berkaitan dengan Islam, sangat sebati sama ada dari ahli PAS mahupun musuh PAS. Apabila ada sahaja masalah berkenaan Islam, maka ahli PAS akan segera menanti kata putus pimpinan sebelum bertindak. Manakala musuh pula segera mengutuk PAS kerana dengki.

Jika solat sama ada biasa dalam majlis tidak rasmi, atau solat jenazah pun begitu, apabila nampak pimpinan parti lain dan pimpinan PAS ada bersama, maka mereka akan membuka jalan memberikan penghormatan agar pimpinan PAS menjadi imam. Kata lah PAS sesat atau apa, tetapi dalam bab solat atau agama, pimpinan PAS lah tempat mereka rujuk.

Dan kini, setelah lama mengajar, ilmu pula diturunkan dari yang dahulu kepada yang muda, kita dapat lihat, betapa terkawalnya perangai ahli PAS. Mereka tidak menyerang membuta tuli. Mereka serang dengan perasaan takutkan dosa dan menggunakan ilmu kesabaran yang diajar oleh pimpinan PAS.

Contohnya menyebut beberapa contoh, dalam isu perbicaraan rasuah Lim Guan Eng, tiada tuduhan mengatakan dia telah bersalah sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman oleh PAS. Dalam kes rogol pembantu rumah bekas Exco Perak juga kita diam daripada menjatuhkan hukuman awal. Isu Ebit Liew juga PAS tidak campur. Dalam mana-mana isu dahulu seperti kes Anwar, kita jadi pembela kepadanya. Tidak sedikit yang tertipu, tetapi kita tetap dengar arahan pimpinan.

Berlawanan dengan isu dan kes yang menimpa pimpinan PAS. Sebelum disiasat atau ditangkap mahupun dibicarakan, PAS sudah berada di dalam penjara musuh. Berbagai cacian dan kecaman yang keluar dari taipan mereka di media sosial. Jangan katakan yang ada isu, yang tiada isu pun, diada-adakan isu bagi mengadakan kesalahan PAS.

Jadi kita tidak kisah sekiranya didapati bersalah. Hukum lah, tiada apa yang kita akan pertahankan. Kita tidak bangga dengan kesalahan pimpinan kita. Cuma yang menjadi kebanggaan ahli-ahli PAS ialah kita telah diajar supaya takut kepada Allah dalam menuduh seseorang. Kita ada neraca syurga dan neraka dalam berbuat sesuatu. Apa yang pimpinan PAS ajarkan ialah mesti mengikut agama Allah.

Anda akan nampak beza serangan dari ahli PAS yang dididik dengan ilmu agama dan juga musuh yang tiada penat mencari jalan yang salah, tiada perkiraan akhirat. Hidup sudah tidak lama, kita akan mati, sama ada kita menang atas agama Allah atau kita mati di jalan Allah. Mohon ahli PAS yang kurang menyertai kuliah-kuliah pimpinan untuk menambahkan lagi kelas mereka. Dan bagi yang sudah istiqamah, terus kekal berjuang dalam ilmu, bukan berjuang dengan kejahilan. 

Yang jenis malas menuntut ilmu begini lah yang akan bersama musuh menghina pimpinan, konon atas nama kebenaran.

MOHD NASIR ABDULLAH
29 September 2021 – HARAKAHDAILY 29/9/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -