Peluang ‘luruskan’ keluarga ke jalan Allah

BENTONG: Dewan Muslimat PAS Kawasan Bentong menutup Karnival Bulan Dakwah 2021 dengan ceramah perdana mengupas tajuk ‘Baiti Jannati’; Ke Arah Membina Keluarga Cemerlang dan Cintakan Agama’, kelmarin.

Advertisement

Program yang telah berlangsung sejak 25 Ogos lalu itu mencapai kemuncaknya dengan diikuti para peserta setia mendengar kupasan disampaikan pendakwah muslimah, Ustazah Ainun Mardhiah Ismail.

Dalam kupasannya, beliau menyentuh mengenai pandemik COVID-19 yang disifatkan beliau mengandung hikmah yang cukup besar jika masyarakat semua dapat memandangnya dari sudut postif.

“Bayangkan, selama ini mungkin kita tidak pernah solat berjamaah sama-sama, mengaji Quran sama-sama dan makan sama-sama. Tup-tup datang COVID-19 semua orang dapat melakukan aktiviti bersama-sama yang dulunya dia tak pernah buat.

“Sekarang dia dapat buat. Indah bukan? Sebelum COVID-19, kita mungkin selalu lalai dan ‘tidak nampak’ Allah, tetapi datangnya COVID-19, rupa-rupanya dengan atau tanpa sedar telah membawa seluruh ahli keluarga kembali dekat dengan Allah.

“Sebuah rumahtangga yang ingat dan cintakan Allah, insya-Allah Allah akan ingat dan jatuh cinta padanya, Allah akan kurniakannya rahmat, ketenangan, kelapangan dan kebahagiaan kepada seisi ahlinya,” kupas penulis buku, `Kucium Haruman Syurga‘ kelahiran Pahang itu.

Seorang penonton dari Indera Mahkota, Mahirah Basirah Saari, meluah rasa keberuntungannya kerana dipilih Allah berada bersama-sama di dalam majlis ilmu tersebut.

“Walau saya masuk di saat-saat akhir, tetapi saya bersyukur dapat mengutip ilmu yang disampaikan kerana saya memang tercari-cari ilmu pendidikan berkenaan rumahtangga,” ujar beliau terharu ketika mengirim pesanan khidmat ringkas tersebut kepada urusetia.

Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Bentong, Faezah Mohammad berkata, institusi kekeluargaan kini berhadapan cabaran yang sangat hebat kesan pandemik COVID-19 yang begitu menguji rohani dan emosi semua orang.

“Boleh dikatakan ramai orang terpaksa `berkurung’ duduk di rumah. Ibu dan ayah mungkin ada yang bekerja dari rumah dan mungkin sebahagiannya terpaksa keluar bekerja.

“Di sinilah terletak cabarannya. Perlunya kefahaman dan persefahaman yang tinggi antara semua pihak. Bagaimana cara atau pendekatan ibu dan ayah berkompromi dengan anak-anak.

“Justeru, kami di pihak Lajnah Dakwah, merasa terpanggil untuk membantu para isteri dan suami yang mungkin terkesan dengan pandemik ini melalui perkongsian ilmu ‘seni bina’ keluarga menurut acuan Islam pada malam ini,” ujarnya selaku pengarah program.

Karnival sempena bulan Muharram ini berlangsung selama 11 hari dengan pengisian menarik antaranya pertandingan kuiz, nasyid dakwah, tilawah interaktif dan ditutup dengan ceramah perdana malam tadi. – HARAKAHDAILY 6/9/2021