Pembesaran Empangan Mengkuang dijangka siap tahun hadapan

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Projek Pembesaran Empangan Mengkuang Fasa 2B di Pulau Pinang dijadualkan siap sepenuhnya pada Disember tahun hadapan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tarikh pembinaan projek berharga RM72.38 juta itu dianjakkan pada 18 Oktober depan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuat kuasa 15 Jun lalu.

- Advertisement -

Katanya, status terkini projek itu ialah Surat Setuju Terima telah dikeluarkan pada 19 Mei 2021 dan tarikh milik tapak pada 1 Jun 2021.

“Kerajaan Pulau Pinang perlu memuktamadkan urusan pengambilan balik baki tiga lot tanah yang terlibat dengan jajaran paip yang akan dipasang dalam kontrak Fasa 2B terbabit.

“Selain itu, terdapat isu hak milik dan persempadanan tanah negeri yang dipajak kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) yang perlu diselesaikan oleh kerajaan negeri bagi memuktamadkan kedudukan jajaran paip yang akan dipasang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Chow Kon Yeow (PH-Tanjong) berhubung status pelaksanaan Fasa 2B dan 2C Empangan Mengkuang.

Tuan Ibrahim berkata, pelaksanaan pakej Fasa 2C membabitkan pembinaan Rumah Pam Lahar Yooi tidak diperlukan berikutan status Empangan Mengkuang merupakan kolam takungan strategik.

Sementara itu, katanya data awalan Kajian Pembinaan Baraj Rantau Panjang menunjukkan Sungai Muda tidak mempunyai kuantiti air yang mencukup bagi membekalkan air ke Empangan Mengkuang ketika musim kemarau.

Projek pembesaran Empangan Mengkuang bermula pada 2011 melalui peruntukan secara langsung Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.2 bilion membabitkan empat fasa, iaitu Fasa 1, Fasa 2A, Fasa 2B dan Fasa 2C.

Fasa 2B membabitkan penyaluran air mentah dari Stesen Pam Mak Sulong ke Terusan Sungai Dua yang sebelum ini di peringkat akhir pengambilalihan tanah, manakala Fasa 2C membabitkan pembinaan Rumah Pam Lahar Yooi yang sebelum ini di peringkat kajian semula oleh perunding. – HARAKAHDAILY 27/9/21

- Advertisement -