Kerajaan pertimbang syor baiki Tabung Haji

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mempertimbangkan sebarang syor penambahbaikan berhubung isu Lembaga Tabung Haji (LTH), termasuk cadangan jaminan kerajaan ke atas Sukuk Urus Harta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), sebuah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary, berkata cadangan itu akan dipertimbangkan berdasarkan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang penubuhannya diputuskan oleh Kabinet pada 14 Julai lalu.

- Advertisement -

Katanya, memelihara keyakinan pelabur dan kepentingan pendeposit LTH menjadi justifikasi kerajaan hari ini bersetuju untuk mengadakan RCI.

“Ini (isu sukuk) adalah antara kerosakan yang perlu diperbetulkan pada hari ini, yang dibuat pada masa yang lalu,” katanya menjawab soalan tambahan Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Marzuk berkata, isu sukuk pernah dijawab oleh Timbalan Menteri Kewangan, Shahar Abdullah di Dewan Rakyat pada 27 Ogos 2020, iaitu sukuk ini tidak pernah dijamin oleh kerajaan.

Katanya, sebarang jaminan kerajaan hendaklah berdasarkan Seksyen 2(3) Akta Jaminan Pinjaman 1965 dan sukuk UJSB tidak pernah diwartakan mengikut akta berkenaan.

Sementara itu, katanya laporan audit bagi tahun 2019 mendedahkan UJSB memperoleh pendapatan sebanyak RM233.98 juta hasil daripada dividen saham dan sewaan hartanah yang dipindah milik daripada LTH.

Bagaimanapun, katanya jumlah pendapatan itu masih belum mencukupi untuk UJSB melunaskan hutang sebanyak RM27.6 bilion.

Menjawab soalan lisan Abdul Azeez, katanya Kabinet bersetuju terma bagi penubuhan RCI adalah memberi tumpuan kepada isu berkenaan LTH yang berlaku antara tahun 2014 hingga 2020.

“Ketika ini, Memorandum Jemaah Menteri bagi membincangkan operasi perlaksanaan RCI telah disediakan dan diedarkan bagi Jemaah Menteri. Ini meliputi perkara seperti keahlian RCI serta aspek pengoperasian pentadbiran dan logistik melibatkan pengurusan RCI,” katanya.

Beliau berkata, aspek tadbir urus, integriti dan reputasi LTH sebagai institusi simpanan kewangan Islam amat penting bagi memastikan kedudukan kewangan LTH lebih kukuh dan stabil, untuk menjamin dan memelihara kepentingan pendeposit dan jemaah haji Malaysia.

Katanya, simpanan pendeposit kekal selamat dan dijamin oleh kerajaan seperti yang termaktub dalam Akta Tabung Haji 1995, manakala hasil siasatan dan pandangan dari RCI kelak diharapkan dapat membantu LTH menambah baik dari segi pengurusan dan aspek tadbir urus.

“Sebagai maklumat tambahan, semalam mesyuarat Kabinet terakhir memutuskan bahawa urusan RCI akan diurus selia oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan dalam masa terdekat akan diputuskan terma dan syarat bagi RCI tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/9/21

- Advertisement -